Rabu, 15 Mac 2017

Sathianathan terima sijil



ARKIB : 24/02/2001
PENOLONG jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, B. Sathianathan semalam menerima sijil kejurulatihan dari Jerman selepas kejayaannya menamatkan kursus di negara Eropah itu dengan cemerlang.

``Saya berterima kasih kepada FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) yang memberikan saya peluang mengikuti kursus itu.

``Naib Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah terutamanya adalah pendorong utama yang menggalakkan jurulatih kita mendapatkan pengetahuan baru di negara luar,'' kata Sathianathan.

Sijil itu disampaikan kepada Sathianathan di Wisma FAM, Kelana Jaya oleh Atase Kedutaan Jerman, Matthias van der Straeten.

Kursus anjuran Persatuan Bola Sepak Jerman itu berlangsung dari 4 hingga 29 September tahun lepas. Ia diadakan setiap dua tahun sekali khusus untuk negara-negara Afrika dan Asia.

Menurut Matthias, kejayaan Sathianathan muncul sebagai antara empat peserta terbaik dalam kursus itu sekali gus membuktikan bahawa Malaysia mempunyai jurulatih berkaliber selain pemain-pemain bermutu tinggi untuk menjadi negara yang dihormati dalam bola sepak.

``Sebanyak 27 peserta menghadiri kursus itu dan Sathianathan muncul sebagai antara empat jurulatih terbaik.

``Ini menunjukkan Malaysia bukan sahaja mempunyai pemain-pemain berbakat tetapi juga jurulatih yang bagus dan berada pada laluan yang tepat untuk muncul sebagai negara terbaik dalam bola sepak di rantau ini,'' katanya.

Tambah beliau, negaranya akan terus memberikan sokongan kepada FAM dalam program meningkatkan mutu bola sepak tempatan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0224&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_08.htm#ixzz4bPTxAJWj
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan