Rabu, 15 Mac 2017

NS Chempaka aibkan skuad negara



ARKIB : 27/02/2001
SKUAD bola sepak kebangsaan menerima tamparan paling hebat menjelang kelayakan Piala Dunia 2002 minggu depan, apabila tewas 2-0 kepada pasukan Perdana Dua, NS Chempaka dalam aksi persahabatan di Stadium Shah Alam, semalam.

Kekalahan memalukan itu menyebabkan jurulatih negara, Allan Harris naik berang dan bingkas mengecam anak buahnya yang disifatkan tidak langsung mempunyai semangat apabila menyarung jersi kebangsaan.

``Saya tidak faham dengan mentaliti pemain Malaysia. Mereka sepatutnya amat berbangga apabila memakai jersi kebangsaan dan bermain dengan penuh bersemangat tidak kira pasukan mana yang ditentang.

``Tetapi hari ini saya sedar mereka begitu. Saya sebagai jurulatih berasa malu dengan keputusan ini,'' kata Harris.

Pasukan negara tidak bermain pada tahap sebenar sepanjang perlawanan semalam yang membolehkan NS Chempaka mengambil kesempatan.

Kedua-dua gol NS Chempaka diperoleh dalam tempoh dua minit pada lima minit terakhir babak kedua menerusi bekas pemain kebangsaan dan Olimpik 2000, K. Nanthakumar.

Begitupun, Harris semalam hanya menurunkan enam pemain utamanya termasuk penyerang Rusdi Suparman dan Hairuddin Omar.

``Saya sebenarnya tidak mahu mengambil risiko kecederaan pemain utama dalam perlawanan ini. Selain itu saya mahu menilai buat kali terakhir pemain-pemain simpanan yang ada sebelum dipilih ke Hong Kong,'' kata Harris.

Harris akan mengumumkan barisan 20 pemain ke Hong Kong di Wisma FAM, Kelana Jaya, esok.

Malaysia diletakkan dalam Kumpulan Tiga Asia dalam kelayakan itu bersama Hong Kong, Qatar dan Palestin. Pusingan pertama berlangsung di Hong Kong pada 4-11 Mac manakala pusingan kedua di Qatar pada 20-25 Mac.

Harris turut mengakui keputusan perlawanan itu tambah menyukarkannya untuk memilih barisan terakhir pemain ke kelayakan itu.

``Saya tidak sangka menerima keputusan seburuk ini ketika kita membuat persiapan terakhir sebelum ke kelayakan itu. Saya perlu melakukan sesuatu,'' kata Harris tanpa memberitahu apa yang akan dilakukannya.

Sekembali daripada aksi persahabatan di Fiji dengan satu kemenangan dan dua tewas, pasukan negara mencatat kemenangan 2-1 ke atas Kelantan dan Negeri Sembilan.

``Mungkin agaknya mereka tidak gemar bermain dengan pasukan Liga Malaysia dalam persahabatan. Mereka lebih sesuai bermain dengan pasukan-pasukan luar,'' tambah Harris.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0227&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4bPVmUAoE
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan