Rabu, 15 Mac 2017

3 pemain tidak akan merayu


ARKIB : 28/02/2001


AKMAL (tiga dari kanan) menjalani latihan bersama skuad kebangsaan buat kali pertama di Stadium Shah Alam semalam. - Gambar KASWADI YUSOFF.

TIGA pemain negara yang digugurkan daripada skuad bola sepak kebangsaan tidak bercadang untuk mengemukakan rayuan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Sebaliknya, mereka menunggu panggilan daripada Jawatankuasa Disiplin badan induk bola sepak negara itu untuk menjelaskan kedudukan sebenar.

Ketiga-tiga pemain, Azmin Azram Aziz serta Kamarulzaman Hassan (penjaga gol) dan penyerang, Khalid digugurkan daripada skuad kebangsaan kelmarin kerana didapati mengunjungi Hard Rock Cafe (HRC) pada 17 Februari lalu.

``Buat masa ini lebih baik kami tidak mengeluarkan pelbagai kenyataan kerana bimbang perkara ini akan menjadi lebih besar,'' kata Khalid, semalam.

``Kami hanya menunggu tindakan lanjut daripada FAM dan ketika itu baru boleh diadakan perbincangan sama ada mempertahankan hak kami atau sebagainya.''

Bagaimanapun Khalid menegaskan, keputusan tersebut bukan bermakna mereka mengaku bersalah di atas perbuatan itu.

``Kami tetap dengan pendirian bahawa kami tidak melanggar peraturan. Apa yang kami lakukan adalah di luar waktu bertugas.''

Kata Khalid lagi, tiada sebarang garis panduan pernah dikeluarkan bahawa pemain tetap terikat dengan peraturan skuad kebangsaan walaupun ketika bercuti.

Malah Khalid beranggapan, tindakan Allan Harris juga terlalu keras, namun mereka tidak bercadang bertemu dengan mana-mana pegawai persatuan dalam masa terdekat untuk membincangkan perkara itu.

``Biarlah kami menenangkan fikiran dulu, lagipun tiada gunanya bertindak terburu-buru kerana peluang kami untuk ke pusingan kelayakan Piala Dunia sudah tertutup.''

Walaupun menerima keputusan itu dengan hati yang terbuka Khalid berkata, ia tetap menimbulkan kehairanan kepadanya dan rakan-rakan yang lain.

Katanya, jika perbuatan perbuatan itu (mengunjungi HRC) merupakan satu kesalahan, mengapa pihak pengurusan mengambil masa lebih 10 hari untuk bertindak.

``Macam ada sesuatu yang tidak kena di sini, walau apa pun kami hanya akan membincangkan perkara itu dalam pertemuan dengan Jawatankuasa Disiplin nanti,'' katanya.''

Khalid mengakui tindakan Harris itu amat mengecewakan dan memberikan tekanan yang amat besar kepadanya.

``Saya bukan hanya tidak dapat mewakili negara, malah terpaksa berdepan keluarga yang masih tidak dapat menerima perkara ini. Saya juga menghadapi tekanan berdepan orang ramai.''

Skuad negara akan berangkat ke Hong Kong esok untuk memulakan kempen pusingan kelayakan Piala Dunia Asia Kumpulan 3, sebelum ke Doha dua minggu kemudian

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0228&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bPWjFyLR
© Utusan Melayu (M) Bhd


Tiada ulasan:

Catat Ulasan