Khamis, 16 Mac 2017

Pengalaman ngeri Mazelan peringkat antarabangsa



ARKIB : 06/03/2001
HONG KONG - Kali pertama sentiasa menjadi pengalaman yang sukar dilupakan. Sungguh pun kadang- kala kita tertunggu-tunggu peluang kali pertama itu, tetapi belum tentu kita mampu menghadapinya dengan baik.

Itulah yang berlaku kepada penjaga gol bidan terjun skuad bola sepak negara, Mazelan Wahid.

Dia menerima pengalaman ngeri apabila buat kali pertama beraksi di peringkat antarabangsa, hanya beberapa hari menjelang hari lahirnya yang ke-34.

Mazelan menyaksikan pintu golnya dibolosi lima kali ketika menentang Qatar dalam perlawanan pembukaan kelayakan Piala Dunia Kumpulan Tiga Asia di Stadium Hong Kong, Causeway Bay kelmarin.

Penjaga gol Sarawak itu mengaku gugup menghadapi perlawanan sulungnya itu, yang mana Malaysia kalah 5-1 kepada Qatar.

``Sukar apabila bermain buat kali pertama di peringkat antarabangsa.

``Ini bukanlah perlawanan Liga Malaysia yang mempunyai rentak perlahan. Pemain-pemain di peringkat ini lebih bijak dan pantas,'' katanya.

Mazelan, yang berasal dari Melaka tetapi mengembangkan kariernya di Sarawak, sebenarnya bukan baru di peringkat antarabangsa.

Dia pernah mewakili negara bersama-sama Khairul Azman Mohamed.

Bagaimanapun kali terakhir dia menyarung jersi negara tujuh tahun lepas dalam Sukan SEA Chiang Mai.

``Bukan mudah untuk mendapat semula rentak permainan sesuai dengan kedudukan beraksi di peringkat antarabangsa.

``Saya sudah menjangka mengenainya apabila dipanggil oleh skuad kebangsaan,'' kata Mazelan, yang dipanggil hanya tiga hari sebelum pasukan negara berlepas ke Hong Kong.

Mazelan, yang akan menyambut hari lahir ke-34 pada 18 Mac ini, menerima panggilan mengejut daripada jurulatih kebangsaan Allan Harris untuk menggantikan tempat Kamarulzaman Hassan yang disingkirkan dari senarai asal.

Kamarulzaman bersama-sama penjaga gol kedua, Azmin Azram Abd. Aziz dan penyerang Perak, Khalid Jamlus diarah meninggalkan kem latihan pusat kerana melanggar tempoh masa perintah berkurung.

``Apabila dipanggil, saya berkata kepada diri saya bahawa saya perlu menerima tanggungjawab ini demi negara walaupun sudah terlalu lama tidak beraksi di peringkat tinggi.

``Sekarang saya harap dapat menyesuaikan diri dengan rentak permainan pantas bagi menghadapi perlawanan seterusnya,'' kata Mazelan.

Seorang lagi penjaga gol bidan terjun ialah Mohd. Syamsuri Mustaffa, 20, yang menurut Harris belum cukup berpengalaman untuk diturunkan beraksi. - Utusan

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0306&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_08.htm#ixzz4bTuYQkn4
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan