Khamis, 16 Mac 2017

Skuad negara hadapi lawan sebenar - Harris


 

ARKIB : 06/03/2001
Skuad negara hadapi lawan sebenar - Harris
PEMAIN Malaysia, Bahtiar Othman (kanan) bersaing dengan pemain Qatar, Mubarak Mostafa Fazli sewaktu perlawanan pembukaan bola sepak kelayakan Piala Dunia kumpulan tiga Asia di Hong Kong, kelmarin. Qatar menang 5-1. - Gambar AFP.

Daripada: A. JAILANI ABDULLAH
HONG KONG - Selamat datang ke dunia sebenar. Ayat itu mungkin yang paling sesuai untuk dikatakan oleh jurulatih bola sepak negara, Allan Harris kepada para pemainnya yang memulakan kempen kelayakan Piala Dunia dengan menentang Qatar di sini, kelmarin.

Bagi jurulatih negara, Allan Harris, perlawanan dengan Qatar, pasukan pilihan dalam pusingan kelayakan bola sepak Piala Dunia yang sedang berlangsung di sini telah memberikan makna sebenar permainan peringkat antarabangsa khususnya kepada pemain-pemain muda negara.

``Ini bukanlah perlawanan persahabatan atau Sukan SEA, ini adalah perlawanan peringkat tinggi yang sama sekali berbeza dengan perlawanan kita yang sudah-sudah,'' Harris mengulas mengenai pertemuan dengan Qatar kelmarin, ketika ditemui di hotel skuad negara di Quarry Bay.

Dalam perlawanan itu, Malaysia dibelasah 5-1 oleh Qatar walaupun mendahului 1-0 menerusi sepakan percuma pertahanan kanan, Rosdi Talib hanya selepas sembilan minit perlawanan bermula.

Menurut Harris, yang melatih skuad negara sejak awal tahun ini, perlawanan menentang pasukan bertaraf lebih tinggi memberi tahu kepada para pemain di mana sebenarnya taraf mereka.

``Kita dapat melihat di mana kita berada apabila menentang pasukan seperti Qatar,'' kata Harris.

Malaysia diletakkan dalam Kumpulan Tiga Asia bersama-sama Qatar, Hong Kong dan Palestin dalam pusingan kelayakan yang bermula kelmarin hingga 11 Mac ini.

Bagaimanapun, jurulatih dari England itu memuji permainan pemain-pemain mudanya. Dalam perlawanan itu, Harris merehatkan penyerang paling senior untuk meletakkan penyerang muda, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, 19, berganding dengan Hairuddin Omar

Harris, 54, turut menggantikan V. Saravanan yang cedera dengan Jaafar Salleh, 21, dan Shukor Adan, 22, serta Gilbert Cassidy - kesemuanya mendapat cap antarabangsa pertama.

``Saya mahu melihat kombinasi Akmal dan Hairuddin.

``Hairuddin mungkin kurang tajam tetapi dia bekerja keras. Shukor juga rajin dan tahu di mana dia perlu berada,'' kata Harris.

Mengenai permainan skuad negara, Harris berkata, pemain-pemain telah mendapat pelajaran terbaik iaitu mereka sepatutnya cuba menghalang lawan daripada kembali bermain dengan rentak mereka selepas mendahului.

Bagaimanapun, katanya, sekarang mereka perlu melupakan kekalahan itu dan menumpukan kepada perlawanan kedua, menentang Hong Kong pada Khamis ini.

``Kita sudah kalah 5-1, kita tidak boleh mengubahnya lagi. Kini tumpuan kita ialah menentang Hong Kong dan berharap kita menang kerana peluang untuk menghabiskan kempen di sini sebagai pasukan kedua terbaik masih ada,'' katanya. - Utusan

SUMBER[Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0306&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4bTvXkAS7
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan