Sabtu, 18 Mac 2017

Pemain jangan buat silap

ARKIB : 21/07/2001
JURULATIH kebangsaan, Allan Harris mengingatkan pemain-pemainnya agar jangan melakukan kesilapan mudah dalam perlawanan persahabatan dengan Manchester United esok.

Katanya, pemain-pemain sudah merasai sendiri keperitan dihukum akibat tindakan tidak matang mereka dalam perlawanan persahabatan dengan Arab Saudi kelmarin, yang mana mereka kalah 4-0.

``Saya harap mereka belajar daripada perlawanan dengan Arab Saudi dan tidak mengulangi kesilapan itu apabila bertemu Manchester United nanti,'' katanya dalam sidang akhbar di Palace of the Golden Horses, semalam.

Katanya, Arab Saudi ialah sebuah pasukan yang kuat dan akan menggunakan setiap kesilapan pihak lawan untuk mencari gol.

``Kini kita akan berdepan dengan pasukan yang lebih kuat daripada Arab Saudi. Mereka lebih bijak mengambil kesempatan apabila kita melakukan kesilapan,'' tegas Harris, yang kagum dengan pencapaian pengurus Red Devils, Alex Ferguson.

Skuad Pilihan Malaysia akan menentang juara Liga Perdana England itu di Stadium Nasional, Bukit Jalil esok.

Kata Harris lagi, beliau berharap pasukan mudanya akan menimba pengalaman daripada perlawanan dengan Arab Saudi dan United terutamanya untuk mematangkan mentaliti mereka jika berhasrat pergi lebih jauh.

Skuad Harris hanya mempunyai tiga pemain senior iaitu ketua pasukan kebangsaan, Ahmad Shahrul Azhar, Chow Chee Weng dan Azmin Azram Aziz. Pemain tengah Terengganu, Rosdi Talib yang dipanggil sebelum ini tidak akan bermain kerana dijangka menimang anggota baru keluarganya tidak lama lagi.

Anggota barisan pasukan selebihnya terdiri daripada pemain-pemain yang berusia di bawah 23 tahun.

Dalam perlawanan dengan Arab Saudi kelmarin, Harris membuat tujuh pertukaran pemain, tetapi tidak akan berbuat begitu Ahad ini.

``Peminat-peminat mungkin bosan jika saya menukar terlalu banyak pemain. Lagi pun ini adalah perlawanan persahabatan bertaraf tinggi, jadi saya mengambil serius mengenainya,'' katanya.

Ahmad Shahrul pula berharap rakan-rakan sepasukan memberikan komitment tinggi dalam perlawanan itu.

``Saya harap semua pemain memberikan sepenuh komitment masing-masing kerana inilah peluang kita untuk mendapat pengalaman daripada perlawanan yang bertaraf tinggi,'' katanya.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0721&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4bhV6Xujn

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan