ARKIB : 19/08/2000
TUJUH tahun lalu, Malaysia
muncul juara Pestabola Merdeka yang merupakan kali terakhir pasukan negara
menikmati kejayaan bertaraf antarabangsa.
Malam ini mereka berpeluang
untuk mengulanginya apabila bertemu New Zealand pada perlawanan akhir di
Stadium Merdeka.
Malaysia muncul juara pada 1993
menewaskan pasukan FC Arau dari Switzerland 3-1.
Skuad negara memiliki rekod
cemerlang dalam kejohanan ini sejak diperkenalkan pada 1957 apabila muncul
juara sebanyak lapan kali daripada 16 penampilan di perlawanan akhir. Dua kali
menjadi juara bersama dengan Korea Selatan iaitu pada 1960 dan 1979 sementara
yang lainnya tewas.
Kejohanan inilah yang
sebenarnya meletakkan nama Malaysia antara pasukan bola sepak yang disegani di
rantau ini satu ketika dahulu dan ia telah melahirkan ramai bintang yang
dikagumi.
Antaranya ialah Athur Koh,
Edwin Dutton, Namat Abdullah, Ali Bakar, Isa Bakar, Allahyarham Mokhtar Dahari,
Soh Chin Aun, Wong Choon Wah dan ramai lagi.
Kali ini kecemerlangan skuad
negara pada kejohanan yang telah menjangkau usia 36 tahun ini, nampaknya
berulang kembali.
Perlawanan akhir ini akan
berlangsung di Stadium Merdeka malam ini dengan tiket perlawanan dijual pada
harga RM30 (grandstand), RM10 (teres terbuka) dan RM5 untuk kanak-kanak
sekolah. Ia akan mula dijual pada pukul 3 petang ini di Stadium Merdeka.
Kejohanan ini tercemar dengan
penarikan diri dua pasukan dari benua Afrika iaitu Ghana dan Cameroon, namun ia
tidak menjejaskan kehebatan seperti yang telah dipamerkan oleh empat pasukan
yang bertanding.
Kini Malaysia dan New Zealand
masing-masing bertekad untuk memburu gelaran juara.
Pemain negara juga berazam
menghadiahkan kejuaraan kali ini kepada rakyat Malaysia sempena Hari
Kebangsaan, hujung bulan ini.
Janji ini memberi gambaran
bahawa skuad bimbingan Abdul Rahman Ibrahim tidak mahu berputih mata sekali gus
bersedia menghadapi New Zealand.
Kedua-dua pasukan memiliki
kelebihan - baik dari segi serangan, pertahanan mahupun kemahiran individu dan
ia boleh dianggap seimbang.
Namun New Zealand ceria dengan
kehadiran semula penyerang berbisanya, Chris Killen kembali beraksi selepas
digantung satu perlawanan gara-gara dua kad kuning.
Hasrat New Zealand itu tidak
akan mematahkan semangat pasukan negara yang semakin matang dengan permainan
pada setiap perlawanan.
Juara kejohanan edisi ke-36 ini
akan menerima wang tunai berjumlah RM190,000, naib juara RM114,000 sementara
tempat ketiga dan keempat masing-masing menerima RM38,000 yang sudah menjadi
milik Oman dan Malaysia B
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0819&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4aud0qDaZ
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan