ARKIB : 20/08/2000
Kurang pendedahan - Piala
Merdeka berhijrah ke NZ
PARA pemain New Zealand
meraikan kejayaan merangkul piala Pestabola Merdeka selepas menumpaskan
Malaysia 2-0 dalam perlawanan akhir di Stadium Merdeka semalam.- Gambar ASWAD
YAHYA.
EDISI ke-36, Pestabola Merdeka
tidak memihak kepada Malaysia apabila tewas 2-0 kepada New Zealand pada perlawanan
akhir di Stadium Merdeka, semalam.
Meskipun memberi saingan sengit
pada kedua-dua babak permainan, skuad bimbingan Abdul Rahman Ibrahim gagal
mengekang jaringan Ryan Nelson pada minit ke-15 dan Paul Urlovic minit ke-37
dalam perlawanan dihadapan kira-kira 6,000 penonton.
Kedua-dua gol New Zealand
dicipta hasil kelalaian benteng pertahanan skuad negara, yang terlalu banyak
memberi ruangan kepada barisan serangan New Zealand untuk bergerak bebas di
dalam kotak penalti.
New Zealand membawa pulang hadiah
wang tunai AS$50,000 (RM150,000) selaku juara manakala Malaysia meraih
AS$30,000 (RM114,000).
Permulaan babak pertama
kelihatan seimbang tetapi Malaysia terlebih dahulu menyerang ke kubu lawan.
Anuar Jusoh membuat percubaan
rendah di hujung kotak penalti pada minit ketujuh tetapi bola terkena badan
pemain New Zealand, Scott Smith.
New Zealand membalas empat
minit kemudian menerusi gerakan dari sebelah kanan oleh Noah Hickey dan dia
berjaya melepasi kawalan B. Rajnikandh untuk meluru ke depan tetapi sepakannya
melambung.
Malaysia mengatur serangan
tetapi pergerakan Rusdi Suparman dan Mohd. Nizaruddin Yusof terbatas.
Kawalan longgar pertahanan
skuad negara jelas memberi ruang kepada barisan serangan New Zealand dan
kelalaian mereka dihukum menerusi jaringan pembukaan pasukan lawan pada minit
ke-15.
Ryan Nelson langsung tidak
dikawal ketika melonjak tinggi untuk menanduk masuk bola sepakan sudut Jeff
Campbell untuk kedudukan 1-0.
Namun Malaysia hampir
menyamakan kedudukan pada minit ke-28 menerusi gerakan cantik satu-dua
Nizaruddin dan Rusdi tetapi tendangan penyudah Rusdi pula tersasar dari tiang
gol ketika penjaga gol, Ross Nicholson sudah tertewas.
Sekali lagi kelekaan benteng
skuad negara dihukum apabila New Zealand membuat serang balas yang pantas dan
Paul Urlovic berjaya mengatasi Rajnikandh dan Khairil Zainal serta penjaga gol,
Kamarulzaman Hassan untuk jaringan kedua pada minit ke-37.
Rusdi mendapat peluang terbaik
di depan pintu gol pada minit ke-60 tetapi sepakannya melambung atas palang.
Kemasukan Bobby Pian
menggantikan Nizaruddin, 10 minit sebelum tamat permainan tidak mampu mengubah
kedudukan.
Sementara itu, jurulatih New
Zealand, Ken Dougdale gembira dengan kejayaan pasukannya.
''Kami menghadapi kesukaran
pada babak pertama kerana Malaysia sering mengasak dalam kawasan gol.
''Malah kami juga bernasib baik
kerana dapat bertahan meskipun Malaysia banyak mendapat set-piece menerusi
tendangan sudut dan tendangan bebas,'' kata Dougdale.
Beliau berharap pasukannya
diundang lagi pada kejohanan akan datang.
Jurulatih negara, Abdul Rahman
pula berkata, Malaysia kalah kepada pasukan yang lebih bagus dengan pendekatan
taktikal yang lebih baik.
''Sebelum ke sini, mereka sudah
menentang pasukan seperti Brazil dan Jerman. Ini pendedahan peringkat tertinggi
untuk barisan pemain negara,'' kata Rahman.
MALAYSIAKamarulzaman Hassan, B.
Rajinikandh, Khairil Zainal, Bahtiar Othman, Ramos Sari (Ooi Hoe Guan), Rosdi
Talib, Ahmad Shahrul Ahmad Sofian, Anuar Jusoh, R. Suresh Kumar (Ahmad
Shahruddin Rosdi), Mohd. Nizaruddin Yusof (Bobby Pian), Rusdi Suparman.
NEW ZEALANDRoss Nicholson,
Scott Smith, Gerard Davis (Gerard Rowe), Cris Zoricich, Sean Douglas, Graham
Pierce, Ryan Nelson, Jeff Campbell, Noah Hickey (Jeremy Brown), Paul Urlovic,
Chris Killen (Bradley Scott)
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0820&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4auet5wYU
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan