Khamis, 16 Mac 2017

Mazlan gemuruh

ARKIB : 03/03/2001
Daripada A. JAILANI ABDULLAH
HONG KONG - Mazelan Wahid, penjaga gol bidan terjun skuad bola sepak negara ke Kejohanan Bola Sepak Kelayakan Piala Dunia di Hong Kong dinasihatkan agar tidak merasa terlalu dibebankan dengan tanggungjawabnya.

Jurulatih Allan Harris berkata, beliau tidak mahu Mazlan, 34, terlalu tertekan kerana sedar penjaga gol itu, yang dipanggil semula hanya beberapa hari lepas, menanggung rasa gemuruh menjelang cabaran penting yang akan bermula esok.

``Saya meminta Mazlan jangan terlalu memaksa dirinya. Saya hanya mahu dia bermain dengan tenang dan jangan terlalu tertekan,'' kata Harris ketika ditemui selepas latihan di sini, semalam.

Begitu pun, Harris yakin Mazlan sudah cukup berpengalaman untuk menangkis tekanan hebat walaupun sudah tidak beraksi di peringkat antarabangsa selama beberapa tahun.

``Dia adalah penjaga gol yang berpengalaman. Saya yakin dia masih mempunyai kemampuan,'' kata Harris.

Mazlan dipanggil semula menyertai skuad negara akibat penyingkiran dua penjaga gol asal, Kamarulzaman Hassan dan Azmin Azram Abdul Aziz daripada kem latihan pusat.

Kedua-dua penjaga gol asal itu bersama-sama penyerang, Khalid Jamlus dibuang kerana melanggar had waktu perintah berkurung.

Pada pusingan kelayakan Piala Dunia Kumpulan Tiga Asia di sini dari 4 hingga 12 Mac ini, Malaysia akan membuka gelanggang perlawanan dengan menentang pasukan pilihan, Qatar. Dua pasukan lain yang berada dalam kumpulan sama ialah tuan rumah dan Palestin.

Sementara itu, jurulatih penjaga gol, Lim Chuan Chin terpaksa melupakan terus bagasinya yang hilang di Lapangan Terbang Hong Kong.

``Bagasi saya telah disahkan hilang oleh pihak berkuasa lapangan terbang Hong Kong tetapi saya telah meminta (syarikat pengeluar barangan sukan) Adidas untuk memberikan pakaian ganti kepada saya,'' kata Chuan Chin. - Utusan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0303&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bTfLFBTG
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan