Khamis, 16 Mac 2017

Harris, Chuan Chin kehilangan bagasi



ARKIB : 02/03/2001
ALLAN Harris bukan sahaja kehilangan tiga pemain utama yang terpaksa disingkir akibat masalah disiplin tetapi jurulatih bola sepak negara itu kehilangan pula bagasinya sebaik tiba di lapangan terbang Hong Kong, semalam, lapor JOHARI SHAWAL.

Harris tiba di negara itu bersama pasukan kebangsaan tetapi terpaksa menunggu pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang berikutnya untuk mendapatkan semula bagasi yang dikatakan tertinggal di Kuala Lumpur.

Jurulatih penjaga gol, Lim Chuan Chin turut kehilangan bagasi yang memaksa mereka menunggu di lapangan terbang berkenaan kira-kira tiga jam sebelum menuju ke hotel penginapan.

Begitupun, masalah itu tidak mengganggu emosi Harris yang sebelum ini terpaksa mengambil tindakan paling menyukarkan _ menyingkir tiga pemain utama dalam pasukan kebangsaan dua hari sebelum berlepas ke Hong Kong.

``Ia (kejadian itu) hanya kebetulan tetapi saya tidak terganggu dengan masalah itu. Segalanya berjalan lancar di sini dan semua pemain nampak bersemangat sebaik menjejakkan kaki di sini (Hong Kong),'' kata Harris sebaik tiba di negara itu, semalam.

Malaysia akan mengharungi pusingan kelayakan Piala Dunia 2002 Zon Asia yang bermula Ahad ini.

Skuad negara diletakkan dalam Kumpulan Tiga bersama Hong Kong, Qatar dan Palestin.

Hong Kong menganjurkan pusingan pertama dari 4-11 Mac manakala pusingan kedua di Qatar pada 20-25 Mac.

Harris terpaksa mengetepikan terus penjaga gol utama, Kamarulzaman Hassan, Azmin Azram Aziz dan penyerang Muhammad Khalid Jamlus kerana didapati melanggar disiplin ketika berada di kem latihan.

Mereka dikatakan telah mengunjungi disko Hard Rock Cafe di Kuala Lumpur pada 17 Februari lalu, perbuatan yang dikatakan bertentangan dengan peraturan kem latihan.

Penyingkiran tiga pemain itu menyebabkan skuad negara terpaksa berlepas ke Hong Kong dalam keadaan serba pincang.

Harris terpaksa menggunakan tenaga penjaga gol lama, Mazlan Wahid, 34, yang kali terakhir bermain untuk pasukan kebangsaan pada Sukan SEA 1997 di Jakarta.

Manakala seorang lagi penjaga gol gantian, Mohd. Syamsuri Mustaffa adalah penjaga gol muda dari pasukan bawah 23 kebangsaan.

Malaysia akan bertemu Qatar, pasukan pilihan utama dalam kumpulan itu, pada perlawanan pembukaan Ahad ini sebelum menentang tuan rumah, Hong Kong pada Khamis dan Palestin, Ahad depan.

Qatar menyertai kejohanan Piala Raja Thai di Bangkok minggu lalu sebagai persiapan kelayakan ini. Pasukan itu menduduki tempat keempat dalam kejohanan yang dijuarai Sweden.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0302&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4bTaCQSKU
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan