Rabu, 15 Mac 2017

Harris umum barisan

ARKIB : 01/03/2001
BARISAN SKUAD KEBANGSAAN
Ketua delegasi: Datuk Dr. Ibrahim Saad
Jurulatih: Allan John Harris
Penolong jurulatih: B. Sathianathan
Penolong jurulatih: Norizan Bakar
Jurulatih penjaga gol: Lim Chuan Chin

Pemain: Mazlan Wahid, Mohd. Syamsuri Mustaffa, B. Rajinikandh, Juzaili Samion, Rosdi Talib, Khairil Zainal, Rusdi Suparman, Gilbert Cassidy Gawing, Hairuddin Omar, Jaafar Salleh, Mohd. Shukor Adan, Irwan Fadli Idrus, Norhafiz Zamani Misbah, Ahmad Shahrul Azhar Sofian, Bahtiar Othman, V. Saravanan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, Abdul Ghani Malik, Bobby Pian, Anuar Jusoh.

ALLAN Harris semalam mengumumkan barisan akhir pasukan bola sepak kebangsaan yang bakal mengharungi pusingan kelayakan Piala Dunia 2002 di Hong Kong minggu depan, dengan mengetepikan lima pemain dan memasukkan empat muka baru termasuk dua pemain ``bidan terjun'', Mazlan Wahid dan Mohd. Syamsuri Mustafa.

Dua pemain lain adalah Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan Juzaili Samion yang mendapat pendedahan di Perancis.

Harris turut menyenaraikan dua pemain bawah 23 tahun iaitu Irwan Fadli Idrus dan Norhafiz Zamani Misbah.

Mazlan, 34, dari Sarawak dan Syamsuri, 19, dari Terengganu dipanggil Harris pada saat akhir sebagai menggantikan kedua-dua penjaga gol yang disingkir, Kamarulzaman Hassan dan Azmin Azram Aziz.

Kamarulzaman, penjaga gol nombor satu negara ketika ini dan Azmin serta seorang lagi pemain, Muhammad Khalid Jamlus disingkir gara-gara melanggar peraturan kem latihan apabila mengunjungi sebuah pusat hiburan di Kuala Lumpur sehingga lewat malam.

Manakala lima pemain yang diketepikan ialah Ahmad Shahruddin Rosdi, Leong Hong Seng, Chow Chee Weng, S. Jayaprakash dan Mohd. Ali Taha.

Harris ketika membuat pengumuman itu pada sidang akhbar di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam berkata, barisan pemain yang dipilih adalah layak untuk membawa cabaran negara.

``Barisan ini adalah yang terbaik dan memiliki ciri-ciri untuk memelihara imej bola sepak negara,'' kata jurulatih dari England itu.

Ditanya mengenai lima pemain yang digugurkan, Harris berkata sebahagian besar mereka diketepikan akibat cedera atau tidak menepati kriteria untuk dipilih dalam pasukan.

Malaysia diletakkan dalam Kumpulan Tiga Asia bersama Qatar, Hong Kong dan Palestin. Pusingan pertama berlangsung di Hong Kong pada 4-11 Mac manakala pusingan kedua di Qatar pada 20-25 Mac.

Mengenai cuaca sejuk di Hong Kong, Harris berkata ia bukan menjadi masalah kerana kebanyakan perlawanan yang membabitkan Malaysia dilangsungkan pada tengah hari.

``Mungkin jika bermain pada sebelah petang atau malam lebih sejuk berbanding tengah hari,'' katanya.

Mengenai prestasi penyerang, Rusdi Suparman yang agak merosot kebelakangan ini, Harris berkata dia tidak risau dengan perkembangan pemain itu sebaliknya tetap menaruh keyakinan tinggi Rusdi mampu menemui sentuhan dalam kelayakan itu.

Harris turut mengulangi rasa kesalnya dengan kes tiga pemain yang disingkirnya.

``Biarlah orang kata saya terlalu keras tetapi itulah yang perlu dilakukan sebagai menjaga disiplin pemain. Mereka yang melanggar disiplin harus menerima akibatnya,'' katanya.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0301&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bPYNq8DP
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan