Rabu, 15 Mac 2017

Malaysia tewas lagi kepada Fiji

ARKIB : 08/02/2001
SKUAD bola sepak kebangsaan tewas lagi kepada Fiji, kali ini tunduk 2-0 pada perlawanan persahabatan kedua di Suva semalam tetapi jurulatih, Allan Harris memancarkan rasa gembira dengan persembahan anak buahnya.

``Berbanding dengan perlawanan pertama tempoh hari, persembahan pemain kali ini lebih baik. Mereka lebih bersemangat walaupun terpaksa mengharungi perlawanan getir dengan pasukan kental itu.

``Saya tidak banyak membuat pertukaran dan mungkin juga keadaan padang yang lebih baik menyumbang kepada aksi lebih baik hari ini,'' kata Harris ketika dihubungi di Suva, semalam.

Kedua-dua gol Fiji dijaringkan pada separuh masa pertama.

Harris berkata, skuad kebangsaan Fiji kini berada pada prestasi terbaik.

``Mereka hanya tewas sekali dalam 80 perlawanan setakat ini dan anda boleh nilaikan sendiri prestasi mereka,'' ujarnya.

Pasukan negara tewas 4-1 pada perlawanan pertama Isnin lalu. Harris menurunkan pemain kesebelasan utama yang beraksi pada Piala Tiger 2000 di Thailand tahun lalu dan ketinggalan 1-0 pada babak pertama.

Bagaimanapun, skuad negara dibolosi tiga gol lagi pada babak kedua selepas Harris menukarkan sebahagian besar pemain babak pertama.

Gol tunggal Malaysia dalam perlawanan pertama itu dijaringkan penyerang, Muhammad Khalid Jamlus.

Harris semalam terus mencuba gandingan penyerang Rusdi Suparman dan Hairuddin Omar dan membawa masuk Khalid pada babak kedua menggantikan Hairuddin.

``Semua pemain di barisan pertahanan, tengah dan serangan menunjukkan persefahaman yang baik di padang. Mereka bekerja keras mencari gol dan kita juga memiliki banyak peluang menghasilkan gol,'' ujarnya.

Harris berkata, perlawanan semalam juga agak keras yang menyaksikan beberapa pemain mengalami kecederaan akibat dibentes keras pemain lawan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0208&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4bOCyA7Vp
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan