Rabu, 15 Mac 2017

LHDN lepaskan Rajinikandh



 
 
ARKIB : 03/02/2001
LHDN lepaskan Rajinikandh
B. Rajinikandh.

TONGGAK pertahanan, B. Rajinikandh akan berlepas ke Suva, Fiji hari ini untuk menyertai skuad bola sepak kebangsaan yang berada di negara itu selepas masalah antaranya dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) selesai semalam.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Dell Akbar Khan berkata, LHDN dan Jabatan Imigresen semalam telah mengeluarkan surat pelepasan kepada pemain itu.

``Bahagian pentadbiran bagi pasukan kebangsaan telah berjumpa dengan LHDN dan Jabatan Imigresen untuk menyelesaikan masalah itu.

``Kita dapati majikan pemain itu (Persatuan Bola Sepak Selangor) telah menjelaskan sejumlah bayaran cukai pendapatan untuk semua pemainnya tetapi ia bukan atas nama setiap pemain sebaliknya dalam satu jumlah untuk semua pemain.

``Masalahnya dengan LHDN dan Jabatan Imigresen sudah selesai. Dia akan berlepas ke Suva esok (hari ini),'' kata Dell kepada pemberita di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Menurut Dell, FAM akan membuat persediaan lebih rapi membabitkan masalah cukai pendapatan pemain yang akan pergi ke luar negara pada masa akan datang termasuk kelayakan Piala Dunia di Hong Kong dan Qatar, Mac ini.

Rajinikandh, 28, pemain yang beraksi dengan Selangor musim ini, tidak dibenarkan meninggalkan Malaysia ketika hendak berlepas ke Suva di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) lewat malam kelmarin kerana tidak menjelaskan cukai pendapatannya.

Semasa Piala Tiger 2000 di Thailand November lalu, pemain itu juga tidak dibenarkan meninggalkan Malaysia akibat masalah yang sama tetapi dibenarkan ke Thailand selepas berjanji akan menjelaskannya sekembali dari negara jiran itu.

Rajinikandh merupakan antara tonggak utama pertahanan pasukan kebangsaan dan dijadual bersama-sama skuad negara berlepas ke Fiji kelmarin.

Pasukan negara yang dibimbing jurulatih dari England, Allan Harris akan berada di negara itu selama 10 hari untuk tiga perlawanan persahabatan sebagai persiapan Malaysia menghadapi pusingan kelayakan Piala Dunia 2002 Kumpulan Tiga Zon Asia, Mac ini.

Malaysia diletakkan sekumpulan dengan Qatar, Hong Kong dan Palestin. Pusingan pertama diadakan di Hong Kong pada 4-11 Mac manakala pusingan kedua di Qatar pada 20-25 Mac.

Rajinikandh, pemain berasal dari Melaka membuat kemunculan pertama di peringkat antarabangsa pada Piala Tiger 1996 di Singapura.

Masalah tidak membayar cukai pendapatan di kalangan pemain mula timbul dua tahun lalu apabila tiga pemain, Azman Adnan, Azlisham Ibrahim dan Asmawi Bakiri tidak dibenarkan berlepas ke Brunei untuk perlawanan Liga Perdana pada 1999.

Dalam tempoh enam tahun ini juga, beberapa pemain import dan jurulatih menghadapi masalah yang sama di lapangan terbang kerana tidak menjelaskan cukai pendapatan masing-masing

Suber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0203&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bNmWwuQ1
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan