Rabu, 15 Mac 2017

Skuad negara tebus maruah

ARKIB : 10/02/2001
SKUAD bola sepak kebangsaan akhirnya mencatat kemenangan 2-1 ke atas Fiji pada perlawanan terakhir daripada tiga aksi persahabatan di Lautoka semalam, keputusan yang amat diharapkan oleh jurulatih negara, Allan Harris.

Selepas tewas 4-1 pada perlawanan pertama dan 2-0 pada perlawanan kedua, pemain tengah Ahmad Shahrul Azhar Sofian dan penyerang Hairuddin Omar menemui sentuhan masing-masing untuk memberi kelegaan di kem skuad negara.

Malaysia mendahului 1-0 pada babak pertama menerusi Ahmad Shahrul sebelum Fiji menyamakan kedudukan babak kedua. Hairuddin menjaringkan gol kemenangan skuad negara.

``Jelas persembahan kita semakin meningkat sesudah kecundang dua perlawanan terdahulu. Saya puas hati dengan semua pemain yang semakin menunjukkan kesesuaian di padang.

``Pemain nampaknya amat bersemangat dalam perlawanan itu dengan memberi komitmen tinggi dan berdisiplin. Keputusan yang dicatat ini dikira berhak diraih,'' kata Harris ketika dihubungi di Lautoka, semalam.

Menurut jurulatih dari England itu, dia tidak banyak membuat pertukaran pemain dalam perlawanan itu yang jelas menyumbang kepada keputusan memberangsangkan.

``Saya menurunkan pemain regular dalam kesebelasan utama dan hanya membuat dua pertukaran pemain yang jelas tidak menjejaskan rentak permainan. Saya gembira dengan keputusan ini,'' katanya.

Harris berkata, pasukan negara akan meneruskan aksi-aksi persahabatan sekembali ke Malaysia nanti, sekurang-kurangnya dua lagi perlawanan antaranya menentang pasukan kebangsaan Hungary.

``Saya harap ia mampu menjadikan pasukan kita lebih baik dan bersedia untuk menghadapi kelayakan Piala Dunia nanti,'' katanya.

Skuad negara dijadual kembali ke tanah air dari Suva, malam esok.

Tiga perlawanan persahabatan di Fiji itu adalah antara persiapan Malaysia untuk menghadapi pusingan kelayakan Piala Dunia Kumpulan Tiga Zon Asia yang dijadual Mac ini.

Malaysia diletakkan sekumpulan dengan Qatar, Hong Kong dan Palestin. Pusingan pertama diadakan di Hong Kong pada 3-11 Mac dan pusingan kedua di Qatar 20-25 Mac.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0210&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4bOFllLqE© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan