Sabtu, 11 Mac 2017

Malaysia di tangga ke-106

ARKIB : 12/10/2000
MALAYSIA turun dua anak tangga daripada kedudukan 104 bulan lalu kepada 106 dalam ranking terbaru Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) semalam.

Malaysia melonjak lapan anak tangga daripada kedudukan 112 pada Ogos kepada 104 bulan lalu.

Ini berikutan kegagalan beberapa pasukan ranking lebih atas dalam perlawanan-perlawanan yang membabitkan kiraan mata termasuk pusingan kelayakan Piala Dunia.

Malaysia mengutip keseluruhan 377 mata. Dalam ranking Asia, Malaysia di tangga ke-14.

Iran pula memintas kedudukan Korea Selatan di atas dalam senarai kedudukan pasukan Asia. Iran hanya satu tangga di atas Korea dengan hanya dua mata di tempat ke-43 dunia (561) manakala Korea Selatan di tempat ke-44 (559).

Brazil, yang agak goyah pada pusingan kelayakan Piala Dunia sebelum bangkit mengalahkan Venezuela 6-0 minggu lalu, melebarkan kedudukannya di depan juara dunia dan Eropah, Perancis di tempat teratas.

Perancis seri dengan juara Olimpik, Cameroon dan Afrika Selatan dalam dua perlawanan terakhir mereka. Jurang mata antara dua pasukan itu menjadi 21 daripada 11 sebelum ini pada September.

Jerman melonjak satu tangga di tempat kelapan selepas bangkit daripada kekecewaan dalam Euro 2000, apabila mengatasi England 1-0 dalam kelayakan Piala Dunia Sabtu lalu.

England tergelincir ke tangga ke-15 daripada tempat ke-14 dalam ranking bulan September.

Berikut ialah senarai 10 pasukan teratas dalam ranking FIFA bagi bulan Oktober (kedudukan bulan lalu dalam kurungan):

1. (1) Brazil 822 mata; 2. (2) Perancis 801; 3. (3) Argentina 764; 4. (4) Czech Republic 753; 5. (5) Sepanyol 745; 6. (6) Itali 740; 7. (7) Portugal 726; 8. (9) Jerman 719; 9. (10) Belanda 718; 10. (8) Yugoslavia 711.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1012&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4b5KDz6PT © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan