Sabtu, 11 Mac 2017

Rahman sudah dapat bayangan

RKIB : 26/10/2000
JURULATIH bola sepak kebangsaan, Abdul Rahman Ibrahim sudah mendapat bayangan pemain kesebelasan utamanya untuk aksi Piala Tiger bulan depan, sesudah pasukannya mencatat kemenangan kedua ke atas Sri Lanka pada perlawanan persahabatan di Stadium Petaling Jaya, semalam.

JOHARI SHAWAL melaporkan, skuad negara menang 3-1 semalam sesudah mengatasi pasukan lawan 2-0 pada perlawanan pertama di Stadium Merdeka, kelmarin.

''Saya boleh katakan pasukan yang bermain pada babak kedua tadi adalah kesebelasan utama kami. Begitu pun, kami mempunyai beberapa pemain yang tercedera, tetapi itu tidak menjadi soal.

''Saya yakin mereka dapat pulih menjelang kejohanan nanti,'' kata Rahman.

Sri Lanka, yang sedang membuat persiapan untuk kelayakan Piala Dunia, mengejutkan pasukan negara dengan jaringan pembukaan menerusi penyerang G. Karunaratne pada minit ke-70.

Namun penyerang, Rusdi Suparman yang dibawa masuk pada babak kedua, menyamakan kedudukan dua minit kemudian menerusi usaha sendiri mengelecek tiga pemain lawan sebelum merembat masuk.

Rusdi menggandakan jaringan 10 minit kemudian menerusi tandukan hasil hantaran silang B. Rajinikandh sebelum R. Suresh Kumar menjadikan kedudukan 3-1 dua minit kemudian.

Rahman menurunkan sebahagian besar pemain utamanya pada babak kedua setelah mencuba rangkaian pemain simpanan pada babak pertama.

Pemain tengah, Ahmad Shahrul Azhar Sofian diturunkan pada babak kedua menggantikan Ahmad Shahruddin Rosdi, bergandingan dengan Suresh Kumar yang menampakkan kesan sehingga mampu merobek gawang Sri Lanka.

Azman Adnan dan Rusdi dijangka menjadi pilihan barisan depan Rahman untuk Piala Tiger nanti. Bahagian pertahanan pula pasti dikendali Rajinikandh, dibantu Abdul Ghani Malek dan Bahtiar Othman serta Mohd. Ali Taha.

Rahman dijangka memutuskan senarai 18 pemainnya ke Piala Tiger, Selasa ini.

Dalam perlawanan semalam, Rahman merehatkan seorang lagi penyerang, Mohd. Nizaruddin Yusof yang cedera semasa perlawanan pertama selain Rosdi Talib dan dua lagi pemain.

''Kami akan mengharungi latihan dalam tempoh seminggu lagi sesudah tiga minggu bersama sebelum berlepas ke Songkhla pada 3 November ini,'' kata Rahman.

Malaysia diletakkan dalam kumpulan B Piala Tiger bersama juara bertahan, Singapura, Vietnam, Laos dan Kemboja dan akan bermain di Songkhla di selatan Thailand.

Kumpulan A terdiri Thailand, Indonesia, Myanmar dan Filipina yang akan bermain di Chiangmai.

Perlawanan peringkat kumpulan akan berlangsung pada 5 hingga 13 November manakala separuh akhir pada 15-18 November di Bangkok.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1026&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4b5iLsw2M © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan