Sabtu, 11 Mac 2017

Kita bekerja keras baiki imej

ARKIB : 27/10/2000
TIGA kemenangan dan satu seri, hasil daripada empat perlawanan persahabatan yang diharungi skuad bola sepak negara minggu ini, menampakkan kesungguhan Malaysia untuk cuba memperbaiki imejnya menjelang Kejohanan Piala Tiger, bulan depan.

JOHARI SHAWAL melaporkan, kemenangan 2-0 ke atas Kemboja pada perlawanan pertama sebelum seri 1-1 dalam perlawanan kedua, dan menang 2-0 serta 3-1 ke atas Sri Lanka, mungkin memberikan sedikit harapan.

Namun, jika dilihat kepada lawan yang ditentang, Malaysia belum boleh diberikan tabik hormat.

Kedua-dua pasukan itu berkedudukan lebih bawah berbanding pasukan negara dan kemenangan yang dicatat seharusnya dianggap wajib.

Begitu pun, ia hanya aksi persahabatan yang sebenarnya membuka ruang kepada setiap pasukan untuk mencari kelemahan, menguji pemain, memperkemas dan mengukuhkan pasukan.

Tetapi keputusan yang dicatat sedikit sebanyak menyuntik semangat pemain negara untuk terus bersama-sama membangunkan bola sepak negara.

Kemboja turut membuat persiapan untuk Piala Tiger. Mereka diletakkan sekumpulan dengan Malaysia selain Laos, Singapura dan Vietnam.

Sri Lanka yang dikendali jurulatih dari Brazil, George Pareira, sedang dalam persiapan untuk kelayakan Piala Dunia.

Dan hasil daripada empat perlawanan itu, Rahman sudah menemui apa yang dicarinya.

''Dengan kemasukan Azman (Adnan) ke dalam skuad selain beberapa muka baru yang saya panggil, saya nampak kami sudah mendapat satu pasukan yang boleh diharapkan.

''Keputusan empat perlawanan persahabatan itu membantu kami,'' kata Rahman.

Rahman mengekalkan sebahagian besar pemain yang dibimbingnya semasa kelayakan Piala Asia April lalu, selain membawa masuk semula bekas penyerang negara, Azman selain menguji beberapa pemain baru.

Antaranya penyerang yang dipinjam Melaka pada Piala Malaysia lalu, Yaakob Aris, Leong Hong Seng dan Hairuddin Omar.

Rahman dijangka menyenaraikan barisan akhir skuad Piala Tiger, Selasa ini yang juga mungkin tugas terakhir buat jurulatih itu membimbing pasukan kebangsaan.

Rahman harus akui sesudah hampir dua tahun membimbing pasukan negara tanpa berjaya memberikan sebarang keputusan yang diharapkan, kedudukannya akan berubah.

Rahman gagal pada dua kejohanan besar, Sukan SEA 1999 di Brunei dan kelayakan Piala Asia di Kuala Lumpur dan Bangkok tahun ini.

Dan Piala Tiger yang bakal berlangsung pada 5-18 November depan, mungkin usaha terakhirnya untuk meyakinkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) supaya dia terus diberi kepercayaan melatih pasukan negara.

Atau FAM sudah mendapat penggantinya sebaik kontrak jurulatih berasal dari Terengganu itu tamat pada 31 Disember ini.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1027&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4b5kCcZmm © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan