Sabtu, 11 Mac 2017

Chin Aun ketuai perlawanan persahabatan

ARKIB : 28/10/2000
DATUK Soh Chin Aun akan mengetuai skuad jemputan Bekas Pemain Antarabangsa Malaysia menentang pasukan bekas pemain ternama Singapura, Labrador All-Stars di Stadium Tampines, Singapura pada 7.30 malam, 29 Oktober ini.

Pasukan bekas pemain Malaysia turut dibarisi Bakri Ibni, Isa Bakar, Zulkifli Norbit, Namat Abdullah, Shukor Salleh, Dollah Salleh dan Khan Hung Meng.

Chin Aun, pemain yang mempunyai lebih 250 cap, pernah memikul tugas ketua pasukan kebangsaan dan mula mewakili Malaysia pada Kejohanan Piala Merdeka 1970. Dia juga memastikan skuad negara meraih kecemerlangan pada pra-Olimpik 1979 di Kuala Lumpur.

Isa, pemain kelahiran Pulau Pinang memulakan karier bersama skuad kebangsaan pada 1974 dan pernah beraksi pada Pesta Bola Merdeka 1976 dan Piala Presiden di Bnagkok 1977.

Namat pula mewakili negara pada 1968 dan pernah membantu skuad negerinya, Pulau Pinang merangkul Piala Malaysia pada 1974 ketika mengalahkan Perak 2-1 di perlawanan akhir, selain bermain di Sukan Olimpik Munich 1972.

Shukor telah beraksi untuk negara dalam empat Sukan SEA, dua Sukan Asia dan memberi saingan pada pra-Olimpik 1979.

Sementara itu, skuad Labrador All-Star yang diketuai Fandi Ahmad turut dibarisi Majid Ariff, Malek Awab, Terry Pathamanthan, Suriamurthi dan Andy.

Perlawanan bersejarah bagi merebut Trofi Cabaran Junior Labrador itu turut memberi penghormatan kepada bekas pemain-pemain kebangsaan Singapura sekitar 60-an ketika perlawanan berhenti rehat selepas separuh masa pertama.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1028&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_08.htm#ixzz4b5lvtk2l © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan