Khamis, 9 Mac 2017

Kim Swee senarai 23 pemain

 
Kim Swee gugur lima pemain (dari kiri) Fakri, Darren, Apek, Matyo dan Irfan. FOTO HM
BERNAMA
Kuala Lumpur: Ketua jurulatih pasukan bola sepak kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee menyenaraikan 23 pemain ke latihan pusat menjelang perlawanan menentang Korea Utara pada 28 Mac ini.

Latihan pusat akan diadakan di Wisma FAM di Kelana Jaya bermula Isnin depan sehingga 20 Mac sebagai persiapan untuk aksi persahabatan menentang Filipina di Stadium Memorial Rizal, Manila pada 22 Mac.

Skuad Harimau Malaysia menghadapi cabaran getir menentang Korea Utara pada aksi sulung pusingan kelayakan terakhir Piala Asia 2019 itu.


Venue bagi perlawanan itu akan diumum oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) esok, ekoran permohonan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) supaya perlawanan itu diadakan di venue neutral atas faktor keselamatan.

Bagi panggilan kali ini, Kim Swee mengekalkan sebahagian skuad Piala Suzuki AFF 2016 di Yangon, Myanmar pada November lalu dengan 18 pemain dikekalkan dan lima pemain ditukar menurut kenyataan FAM, hari ini.

Lima pemain digugurkan ialah penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan), Irfan Fazail (JDT II), Ahmad Fakri Saarani (Kedah), Darren Lok (JDT) dan Norshahrul Idlan Talaha (Felda United).

Mereka digantikan dengan penjaga gol Felda United Mohd Farizal Harun, Mohd Afif Amiruddin (Pahang), Khair Muhammad Jefri Jones (Melaka), Mohamad Nasir Basharudin (Perak) dan Muhammad Akram Mahinan (Kedah) untuk melengkapkan skuad.

Kesemua pemain itu perlu melaporkan diri kepada Kim Swee pada Isnin ini kecuali dua pemain JDT (Rabu) dan dua pemain Felda United (Khamis) kerana terbabit dengan aksi Piala AFC 2017 dengan kelab masing-masing.

Menurut kenyataan itu, purata umur bagi senarai skuad kali ini ialah 28.0 tahun. Tujuh pemain berusia 25 tahun dan ke bawah dengan sembilan pemain berusia 26-29 tahun serta tujuh pemain berusia 30 tahun dan ke atas.

23 pemain terbabit ialah Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, Muhammad Shahrom Abdul Kalam, Nazirul Naim Che Hashim, Shahrul Mohd Saad, Mohamad Nasir Basharudin, Mohamad Zaquan Adha Abd Radzak (kesemuanya Perak), Khairul Helmi Johari, Mohd Rizal Mohd Ghazali, Baddrol Bakhtiar, Muhammad Akram Mahinan dan Mohd Syazwan Zainon (Kedah).

Mohamad Fadhli Mohd Shah, Ahmad Hazwan Bakri (JDT), Mohd Farizal Harun, Muhammad Hadin Azman (Felda United), Matthew Davies, Mohd Afif Amiruddin (Pahang), Mohd Khairulazhan Mohd Khalid, S Veenod (Selangor), Khair Muhammad Jefri Jones, Mohd Amri Yahyah (Melaka United), Mohd Safee Mohd Sali (PKNS FC) dan Ronny Harun (Sarawak).
Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mac 2017 @ 4:55 PM


Tiada ulasan:

Catat Ulasan