Sabtu, 4 Mac 2017

Kemenangan menjaga maruah negara - Harris

MALAYSIA akan menentang Filipina hari ini pada perlawanan terakhir pusingan kelayakan bola sepak Kejohanan Asia Bawah 19 kumpulan 9 di Stadium Shah Alam dalam perlawanan yang sepatutnya dilihat untuk menjaga reputasi pasukan selaku antara yang terbaik di rantau Asia Tenggara.

Oleh itu, hanya satu pilihan untuk anak-anak buah Allan Harris iaitu menang, dan kemenangan dengan jaringan gol yang besar adalah bonus untuk peminat-peminat tempatan.

Walaupun apa sahaja keputusan dan jumlah jaringan yang akan disaksikan nanti tidak akan membawa Malaysia ke pusingan akhir di Tehran Oktober ini, tetapi demi menjaga maruah, pemain-pemain muda remaja negara perlu memastikan hanya kemenangan dicipta.

Mengalahkan Filipina juga dapat memastikan Malaysia menduduki tempat kedua senarai kedudukan kumpulan 9, merampas tempat tersebut dari genggaman Singapura untuk keluar sebagai naib juara kepada Korea yang hanya memerlukan tiga perlawanan untuk menempah tiket ke Iran.

Malaysia setakat ini mengumpul empat mata dari tiga perlawanan awalnya hasil daripada keputusan membelasah Macau 10-0, seri dengan Singapura 1-1 dan tewas kepada Korea 7-3. Singapura pula yang sudah menghabiskan keempat-empat perlawanannya dalam pusingan kelayakan ini, mengumpul tujuh mata.

Sebelum mengikat Malaysia pada perlawanan keduanya, pasukan Kota Singa itu kalah 12-0 kepada Korea, dan kemudian mencatat kemenangan pada dua perlawanan terakhirnya iaitu 3-1 ke atas Filipina dan 4-0 terhadap Macau.

Jurulatih Malaysia, Harris berkata beliau yakin Filipina bukanlah pencabar kepada Malaysia berdasarkan persembahan pada tiga perlawanan mereka terdahulu.

''Walaupun kita sudah tidak mampu melayakkan diri ke Tehran, tetapi para pemain tetap bersemangat untuk mencipta kemenangan,'' katanya di Shah Alam semalam.

Sementara itu, Korea, juara sembilan kali kejohanan lepas akan menentang pasukan yang menjadi 'lauk', Macau dalam satu lagi perlawanan yang sudah pasti mudah buat juara bertahan itu.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0704&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4aNxEaQGj © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan