Selasa, 14 Mac 2017

Harris dedah latihan keras


 

ARKIB : 16/01/2001
Harris dedah latihan keras
LEONG Hong Seng mengutip bola yang tersangkut di jaring ketika latihan skuad bola sepak kebangsaan di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam. Malaysia sedang membuat persiapan untuk kelayakan Piala Dunia 2002, Mac ini. - Gambar AZALEZAH MALEK.

Jurulatih negara, Allan Harris berkata, latihan itu akan dilakukan dalam tempoh dua minggu ini yang telah bermula sejak kem latihan skuad negara dibuka.

"Kita masih meneruskan latihan keras seumpama ini kerana semua pemain perlu meningkatkan semula kecergasan masing-masing selepas berehat panjang.

"Mereka nampaknya sudah menampakkan peningkatan sejak latihan bermula minggu lepas,'' kata Harris.

Harris semalam meneruskan latihan seumpama itu dengan menetapkan had masa yang perlu dilepasi oleh semua pemain.

Mereka diberi tempoh enam minit bagi larian sejauh 1,400 meter.

"Mereka berjaya melepasi had itu tetapi kita akan teruskan latihan ini sehingga mereka benar-benar cergas,'' kata Harris di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Skuad negara sedang dalam persiapan untuk menghadapi pusingan kelayakan Piala Dunia 2002 yang akan berlangsung di Hong Kong dan Qatar, Mac ini.

Malaysia diletakkan dalam Kumpulan Tiga pada kelayakan itu bersama-sama Hong Kong, Qatar dan Palestin.

Pusingan pertama diadakan di Hong Kong pada 3-8 Mac manakala pusingan kedua di Doha, Qatar pada 20-25 Mac.

Semua pemain turun menjalani latihan semalam kecuali penyerang Rusdi Suparman dan penjaga gol Azmin Azram Aziz.

"Rusdi mengalami cirit-birit manakala Azmin pula demam. Mereka diberi rehat sehingga keadaan mereka kembali pulih,'' kata Harris.

Sebagai persiapan skuad negara menghadapi kelayakan itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah mengatur beberapa siri perlawanan persahabatan dengan pasukan luar negara.

Antaranya menentang pasukan Bahrain yang dijadual pada 25 Januari dan kelab dari Switzerland, FC Aarau pada 28 Januari.

Skuad negara dijangka berkunjung ke Fiji selama 10 hari bermula 2 Februari untuk tiga perlawanan persahabatan di sana.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0116&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4bLd0JG9e

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan