Selasa, 14 Mac 2017

Rusdi perlukan Nizaruddin



ARKIB : 13/01/2001

           
RUSDI Suparman terpaksa menyesuaikan diri dengan penyerang lain selepas gandingannya yang dianggap amat sesuai, Nizaruddin tidak bersama skuad bola sepak kebangsaan kali ini akibat penggantungan permainan.

Menurutnya, dia amat mengharapkan Nizaruddin dapat bersama-sama skuad kebangsaan untuk kelayakan Piala Dunia 2002 Mac ini.

"Saya lebih serasi dan selesa bermain dengannya. Ketiadaannya dalam pasukan kebangsaan akibat penggantungan itu agak mengecewakan saya.

"Saya akui dia memang lebih sesuai dengan saya di barisan depan. Dia sentiasa memberikan apa yang saya mahukan apabila digandingkan bersama,'' kata Rusdi ketika ditemui selepas latihan pasukan kebangsaan di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya, semalam.

Rusdi berkata, dia sudah lama digandingkan dengan Nizaruddin di barisan serangan pasukan kebangsaan.

"Saya sudah bersamanya sejak kelayakan Piala Asia sehingga Pestabola Merdeka dan Piala Tiger tahun lalu.

"Dia banyak membantu mencipta peluang-peluang di depan gol dan kebanyakan gol yang saya jaringkan adalah berpunca daripadanya,'' ujarnya.

Bagaimanapun Rusdi berkata, mungkin penyerang lain yang ada dalam skuad pelatih kebangsaan ketika ini seperti Muhammad Khalid Jamlus dan V. Saravanan mampu beraksi setanding rakannya itu.

"Tetapi saya tidak pernah digandingkan dengan Khalid mahupun Saravanan semasa perlawanan-perlawanan antarabangsa. Hairuddin (Omar) pula sekali sekala. Saya lebih banyak bersama Nizaruddin,'' katanya.

Menurut penyerang Selangor berusia 27 tahun itu, dia juga tidak pernah bermain dengan Akmal Rizal Ahmad Rakhli, yang kini berlatih di Perancis, dan tentunya ia memerlukan masa untuk mencari kesesuaian.

"Namun, saya percaya penyerang lain juga mampu beraksi setanding atau lebih baik daripada Nizaruddin. Kem latihan baru sahaja dibuka dan saya tidak tahu lagi bagaimana keadaannya,'' kata Rusdi.

Rusdi ketika ini menjadi harapan utama barisan depan pasukan kebangsaan manakala Nizaruddin lebih banyak bertindak sebagai sokongan di belakangnya.

Nizaruddin terpaksa melupakan hasrat bermain dalam kelayakan itu selepas Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) mengekalkan hukuman gantung empat bulan ke atasnya yang berakhir pada penghujung April kerana melanggar syarat kontrak persatuan itu.

Semasa Piala Tiger di Thailand November lepas, Rusdi membantu Malaysia, yang ketika itu dibimbing Abdul Rahman Ibrahim, menduduki tempat ketiga.

Rusdi menjaringkan empat gol dalam kejohanan itu, masing-masing dua gol ke atas Laos dan Kemboja.

Malaysia yang kini dikendali jurulatih dari England, Allan Harris akan mengharungi kelayakan Piala Dunia Kumpulan Tiga pada 3-25 Mac ini.

Pasukan negara diletakkan bersama Qatar, Hong Kong dan Palestin.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0113&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4bJCZabJZ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan