Rabu, 15 Mac 2017

Harris anggap sudah terlewat

ARKIB : 15/02/2001
JURULATIH bola sepak kebangsaan, Allan Harris tidak akan memanggil Nizaruddin Yusof untuk menyertai latihan menjelang kelayakan Piala Dunia bulan depan, tetapi kesal kerana terpaksa melakukannya.

Harris memberikan tiga alasan utama untuk tidak memanggil penyerang kebangsaan itu: ``Pertama kerana dia tidak cergas, kedua dia tidak cergas untuk perlawanan dan ketiga kerana memanggilnya adalah tidak adil kepada pemain-pemain lain.''

Tambahan pula, katanya, sudah terlewat untuk Nizaruddin menjalani latihan bersama-sama pasukan untuk mendapatkan semula tahap kecergasan yang diperlukan serta menerima taktik permainan pasukan.

Nizaruddin tidak dapat menyertai latihan skuad kebangsaan, yang bermula awal bulan lepas, kerana digantung permainan selama empat bulan hingga April ini oleh Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) kerana melanggar kontrak.

Bagaimanapun, semalam, Jawatankuasa Status Pemain Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menggugurkan hukuman ke atas penyerang itu setelah mendengar rayuan kesnya.

Harris bagaimanapun tidak gembira kerana gagal mendapatkan khidmat Nizaruddin.

``Saya kesal kerana tidak dapat menggunakan khidmatnya kerana Nizar ialah pemain yang bagus,'' katanya di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam. ``Walaupun saya tidak pernah melatihnya, tetapi saya pernah melihat dia bermain.

``Dia adalah penyerang yang bagus dan boleh memberikan sesuatu untuk pasukan.''

Dengan nada bergurau, Harris berkata peristiwa itu mungkin berkaitan dengan nasibnya.

``Mungkin kejadian ini ada kaitan dengan nasib saya. Setiap kali menjelang kejohanan besar, saya akan kehilangan penyerang yang bagus.

``Sebelum ini saya pernah kehilangan Akmal (Rizal Ahmad Rakhli) dan sekarang Nizar,'' katanya.

Tahun lepas, Harris tidak dapat menggunakan khidmat Akmal, pemain yang menjalani latihan sambil bermain dengan kelab Perancis, Strasbourg, dalam pusingan kelayakan Bawah 19 Tahun Piala Belia Asia.

Gabungan Bola Sepak Asia (AFC) memutuskan Akmal tidak boleh bermain kerana penyerang itu pernah menyertai skuad bawah 23 tahun Malaysia ke pusingan kelayakan Sukan Olimpik.

Mengenai skuad kebangsaan, Harris berkata beliau masih mempunyai banyak masa untuk memperbaiki pasukannya, yang akan menyertai pusingan kelayakan Piala Dunia.

Malaysia diletakkan dalam Kumpulan Tiga kelayakan bersama-sama Hong Kong, Qatar dan Palestin.

Katanya, pasukannya yang akan dikecilkan kepada 20 pemain tidak lama lagi, akan diuji dalam dua lagi perlawanan persahabatan sebelum berlepas ke Hong Kong untuk pusingan pertama kelayakan.

Harris kini mempunyai 24 pemain yang sedang menjalani latihan di Kelana Jaya.

``Kita akan mengadakan perlawanan dengan Kelantan Isnin depan dan satu perlawanan lagi belum dipastikan,'' katanya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0215&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4bOwuImsr© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan