Rabu, 15 Mac 2017

Nizaruddin bebas hukuman



 
ARKIB : 15/02/2001
NIZARUDDIN YUSOF menggenggam tangannya selepas mengetahui dia dibebaskan dari penggantungan selama empat bulan oleh KLFA, di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam. - Gambar SAIFUL NIZAM BAHARI.

PENYERANG bola sepak kebangsaan, Mohd. Nizaruddin Yusof dibebaskan daripada penggantungan empat bulan tetapi dikenakan denda RM500 sebagai pengajaran.

Jawatankuasa Status Pemain Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membuat keputusan itu selepas mendengar rayuan Nizaruddin, 22 dan bekas majikannya, Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Hukuman denda sebanyak RM500 yang dikenakan oleh KLFA ke atas Nizaruddin bagaimanapun dikekalkan.

Seorang lagi pemain, Mohd. Shawal Johadi yang turut dikenakan hukuman serupa oleh KLFA turut bebas. Mohd. Shawal turut dikenakan denda tambahan sebanyak RM500 oleh jawatankuasa itu.

``Jawatankuasa ini membuat keputusan menggugurkan hukuman gantung ke atas Nizaruddin dan Mohd. Shawal kerana hukuman itu tidak sah,'' kata Pengerusi Jawatankuasa Status FAM, Tengku Ahmad Rithauddeen di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Menurut beliau, jawatankuasa itu meneliti kes tersebut dari semua sudut perundangan dan membuat keputusan bahawa hukuman ke atas kedua-dua pemain tidak sah.

Katanya lagi, tambahan pula perjanjian antara kedua-dua pemain itu dengan KLFA ialah kontrak perkhidmatan.

Jelasnya, majikan hanya boleh mengenakan penggantungan selama tempoh perkhidmatan pemain dengan mereka dan tidak boleh lebih daripada itu.

Kontrak Nizaruddin dan Mohd. Shawal dengan KLFA tamat pada 31 Disember tahun lalu.

``Bagaimanapun, kedua-dua pemain itu dikenakan denda tambahan sebanyak RM500 sebagai pengajaran kepada mereka dan peringatan kepada pemain-pemain lain.

``Keputusan ini akan dirujuk kepada Majlis FAM untuk disahkan,'' kata Tengku Ahmad Rithauddeen.

Nizaruddin digantung permainan selama empat bulan oleh KLFA, yang sepatutnya berakhir April ini, kerana pemain itu melanggar syarat-syarat perjanjian bersama.

Pemain itu, yang kini bersama Selangor, digantung oleh KLFA di bawah Fasal 5A kerana tidak menghadiri latihan dan 5E kerana mengkritik persatuan secara terbuka.

Rakannya, Mohd. Shawal turut dikenakan hukuman serupa oleh KLFA kerana melakukan kesalahan yang sama.

Nizaruddin dan Mohd. Shawal mengemukakan rayuan mereka kepada jawatankuasa itu pada 16 Januari lepas.

``Saya lega kerana dibebaskan,'' kata Nizaruddin dengan wajah gembira. ``Sekarang saya sudah boleh memulakan latihan bersama Selangor selepas hanya berlatih sendiri sebelum ini.

``Bagaimanapun, saya terkilan kerana tidak dapat menyertai skuad kebangsaan dalam pusingan kelayakan Piala Dunia bulan depan.

``Oleh itu, tumpuan saya sekarang hanyalah untuk Selangor.'

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0215&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bOuoHdF0© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan