Tekad padam duka
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pemain paling
berpengaruh dalam skuad bawah 22 tahun negara (B-22) Adam Nor Azlin mahu rakan
sepasukannya melupakan segera kekalahan di pentas final dengan menjadikan
saingan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di China tahun depan
sebagai medan kebangkitan.
Jelas tonggak pertahanan kental
itu, kekecewaan tumpas 0-1 di tangan Thailand perlu segera diubati dan
mengambilnya secara positif untuk tampil lebih matang pada kempen Piala AFC itu
nanti.
“Semua sedih kekalahan ini,
tapi ia suatu pengajaran bagi kami pada masa akan datang. Pemain diharapkan
dapat bangkit secepat mungkin untuk fokus pada saingan AFC tahun depan.
“Secara keseluruhan saya
berbangga dengan pasukan, seperti semua maklum persiapan kami agak hambar tapi
tetap dapat mara ke final.
“Satu kebanggaan bagi saya,
malah penyokong Malaysia juga patut bangga dengan kami walaupun persiapan serba
kekurangan kami tetap layak (final),” kata pemain Selangor berusia 21 tahun
itu.
Nada sama turut disuarakan
tonggak tengah pasukan, Nor Azam Abdul Azih yang berharap persiapan bagi
menghadapi saingan Piala AFC tidak terganggu dan mendapat kerjasama semua
pasukan liga tempatan.
“Kami sudah cuba yang terbaik
sepanjang perlawanan terutama di babak kedua apabila lebih banyak menyerang ke
kubu mereka.
“Tapi apakan daya rezeki tak
memihak kami walaupun menguasai aksi final. Namun ada yang positif dalam
pasukan kerana kami semakin serasi dari perlawanan ke perlawanan.
“Situasi ini baik kerana
selepas ini bermula cabaran Piala AFC pula. Saya harap kami tidak dihantui
masalah persiapan sekali lagi,” kata Azam yang meledak satu gol ketika
menentang Singapura di peringkat kumpulan temasya dwitahunan itu.
Skuad kendalian Datuk Ong Kim
Swee itu dijangka dikumpulkan semula pada Disember dengan saingan di China
bermula dari 9-27 Januari depan.
SUMBER-Artikel ini disiarkan
pada : Jumaat, 1 September 2017 @ 12:00 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan