Sabtu, 2 September 2017

Azam yakin skuad negara mampu beri saingan sengit di China

                 Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
 
Kuala Lumpur: Pemain tengah negara, Nor Azam Azih percaya mereka mampu memberi saingan dalam Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bawah 23 tahun (B-23) di China, Januari tahun depan andai diberi tempoh persiapan lebih lama.

Dia berkata, kejayaan skuad bawah B-22 negara melayakkan diri ke kejohanan itu dan meraih pingat perak di Sukan SEA Kuala Lumpur membuktikan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee memiliki potensi untuk pergi jauh.

“Kita tahu Thailand jaguh di Asia Tenggara dan mereka juga selalu memberi saingan hebat di peringkat Asia juga. Tapi saya fikir jurang kami dengan Thailand tidak jauh. Lihat saja perlawanan final ini (Sukan SEA), hanya kesilapan kami yang membezakan kedua-dua pasukan.

“Kalau kami bermain bersama lebih lama mungkin kami boleh pamerkan permainan lebih baik. Kalau nak diikutkan, untuk Sukan SEA ini, kami betul-betul berlatih bersama selama seminggu saja,” katanya.

Skuad muda negara melakar sejarah apabila mara ke pusingan akhir Kejohanan AFC B-23 buat kali pertama selepas melepasi pusingan kelayakan di Bangkok bulan lalu.

Bagaimanapun, mereka hampir mencipta sejarah sekali lagi di Sukan SEA namun tewas 0-1 kepada Thailand akibat gol sendiri penjaga gol Muhammad Haziq Nadzli dalam aksi final di Stadium Shah Alam, Rabu lalu.

Azam antara pemain yang menyerlah dalam skuad Kim Swee pada kempen Sukan SEA meskipun pemain Pahang itu tidak bersama pasukan di Bangkok kerana tidak mendapat pelepasan dengan alasan jadual padat Liga Malaysia.

Menurut pemain perancang yang menjadikan pemain tengah Real Madrid, Luca Modric sebagai idolanya, dia percaya semua pemain dapat menerima kekalahan kepada Thailand untuk bangkit di kejohanan akan datang.

“Kita menerima kekalahan ini, kalah sekali bukan kalah selamanya. Kita kena usaha lagi. Kalau nak diikutkan, kita menguasai permainan khususnya pada separuh masa kedua. Banyak lagi yang kita perlu perbaiki untuk bermain lebih baik,” kata Azam.

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 September 2017 @ 11:53 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan