Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Ketika nasib
jurulatih Datuk Ong Kim Swee bersama skuad bawah 22 tahun n (B-22) masih belum
pasti, situasi itu pantas dihidu beberapa kelab Liga Super Indonesia (ISL) yang
menyatakan berminat mendapatkan khidmatnya.
Kim Swee bukan asing lagi di
Indonesia selepas beliau menjadi ‘arkitek’ kejayaan skuad negara menewaskan
negara itu pada final Sukan SEA 2011 Jakarta.
Malah ‘saham’ pengendali
berusia 46 tahun itu terus melonjak di negara jiran itu susulan anak buahnya
menewaskan skuad Garuda Muda kendalian bekas jurulatih remaja Sepanyol Luis
Milla Aspas dua kali di kelayakan Kejohanan AFB-23 di Bangkok bulan lalu (3-0)
dan separuh akhir Sukan SEA Kuala Lumpur (1-0).
Difahamkan sebuah kelab yang
berpangkalan di Jakarta sangat serius untuk mendapatkan khidmat Kim Swee
manakala beberapa kelab ISL turut menunggu peluang apabila kontrak beliau tamat
31 Disember ini.
Bagaimanapun Kim Swee enggan
mengulas spekulasi itu kerana masih berminat untuk mengadakan pertemuan dengan
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi membincangkan kontrak.
“Tiada apa yang ingin saya
katakan setakat ini mengenai perkara itu (tawaran kelab Indonesia). Saya akan
berjumpa dengan pihak pengurusan (FAM) selepas ini, secepat-cepatnya minggu
depan.
“Perbincangan itu bukan hanya
mengenai kontrak tapi membabitkan perancangan pasukan B-22 yang akan bertanding
di Kejohanan AFC (B-23) di China tahun depan,” katanya ketika dihubungi Arena
Metro semalam.
Berdasarkan kontrak asal dua
tahun dengan FAM yang ditandatangani Januari 2016, Kim Swee ditawarkan tugas
sebagai jurulatih Harimau Malaya namun beliau diarahkan untuk menggantikan
tempat Frank Bernhardt pada Mac lalu untuk membimbing skuad B-22.
Posisi Kim Swee pula diisi
jurulatih kelahiran Portugal Nelo Vingada.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan