Jumaat, 8 September 2017

Olimpik Malaysia, Thailand seri



ARKIB : 14/10/20
Oleh: ABDUL HAFIZ AHMAD
KUALA LUMPUR – Skuad Olimpik Bawah 21 Tahun Malaysia mempamerkan kemajuan pada Kejohanan Bola Sepak Piala Ibu Kota SHBank apabila seri tanpa jaringan dengan skuad Bawah 23 Tahun Thailand di Hanoi, kelmarin.

Mereka kini perlu menunggu keputusan perlawanan terakhir menentang Vietnam di Stadium Hang Day, esok untuk mengintai tempat kedua kejohanan yang menjanjikan ganjaran AS$5,000 (RM18,400).

Dengan cuma satu mata selepas dibelasah 0-4 oleh pasukan kebangsaan Vietnam, Selasa lalu, anak buah B. Sathianathan mungkin terpaksa keluar selaku pasukan tercorot kejohanan jika Thailand mampu mengikat tuan rumah dengan keputusan seri.

Malah, Malaysia cuma akan meraih RM3,000 (RM11,050) di tempat ketiga sekalipun Thailand yang bakal ke Sukan Asia Doha, Disember ini tetap kalah dengan tidak melebihi 0-4. Juara kejohanan dihadiahkan AS$10,000 (RM36,835)

Kelmarin, Malaysia yang turun tanpa penyerang utama, Razali Umar, nyaris mengejutkan lawan menerusi percubaan Jasazrin Jamaluddin pada minit kedua yang sempat dinafikan oleh penjaga gol, Adisak Doungsri.

Pada minit ke-25 dan 30, Thailand pula mengasak dan ketangkasan penjaga gol Syed Adney Hussain menyekat dua cubaan Jeera Jarernsuk yang nyaris membawa gol.

Tanpa Razali yang tercedera, Norshahrul Idlan Talaha - pelatih skuad Sukan Asia yang bergandingan dengan Azlan Ahmad, beberapa kali melakukan gerakan solo tetapi agak gopoh dalam tindakan penyudah.

Tandukan Azrul pada minit ke-69 juga nyaris menewaskan Adisak buat kali pertama tetapi cuma tersasar sedikit daripada tiang kanan gol Thailand yang membariskan ramai pemain skuad Pestabola Merdeka, Ogos lalu.

Skuad Olimpik negara: Syed Adney Syed Hussain, K. Linggam, S. Subramaniam, Ahmad Azlan Zainal (Syamsol Sabtu), Zairul Fitreee Ishak (Razlan Joffri Ali), Zul Yusri Che Harun (Tengku Qayyum Ubaidullah), Shakir Shaari (Ahmad Ezrie Shafizie), Daudsu Jamaluddin (Fazli Baharuddin), Jasazrin Jamaluddin, Azrul Ahmad, Norshahrul Idlan Talaha.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1014&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4s4XgfUPi
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan