Jumaat, 8 September 2017

Skuad Olimpik tercorot



ARKIB : 16/10/2006
KUALA LUMPUR – Malaysia sekadar berpuas hati dengan ganjaran AS$3,000 (RM11,050) setelah menduduki tempat tercorot dalam persaingan tiga penjuru Kejohanan Bola Sepak Piala Ibu Kota SHBank di Hanoi, Vietnam.

Dengan kalah sekali dan seri sekali, skuad Olimpik Bawah 21 negara mengesahkan kedudukan itu selepas Vietnam menewaskan Thailand 2-0 pada perlawanan terakhir, kelmarin.

Gol Vietnam kelmarin dijaringkan oleh Minh Chuyen pada minit ke-50 dan Anh Duc, 77 yang turut menyaksikan pemain Thailand, Wuttichai Tatong dibuang padang, lima minit sebelum tamat.

Anak buah B. Sathianathan dibelasah oleh tuan rumah yang membariskan skuad yang lebih senior 4-0 sebelum seri tanpa jaringan dengan skuad Olimpik Thailand, Selasa dan Khamis lalu.

Malaysia terikat satu mata dengan Thailand tetapi perbezaan gol membawa lawan muncul naib juara sambil meraih AS$5,000 (RM18,400) dan Vietnam yang memungut enam mata, mengaut AS$10,000 (RM36,835).

Skuad negara menjadikan kejohanan ini sebagai persediaan menghadapi pusingan kedua kelayakan Olimpik pada Februari tahun depan. Malaysia menganggotai Kumpulan B dengan Jepun, Syria, Bangladesh atau Hong Kong.

Kata Sathianathan, selepas ini skuad Olimpik negara akan menentang skuad Sukan Asia India dalam dua lagi perlawanan persahabatan, bulan depan.

“Perlawanan itu akan menentukan teras skuad sebelum saya mengadunkan mereka dengan beberapa tonggak skuad Bawah 23 Tahun dan Bawah 20 Tahun apabila Sukan Asia Doha, Kejohanan Belia Asia di India, berakhir.

Empat atau lima pemain akan digugurkan dan lima pemain Bawah 20 dan sembilan pemain Bawah 23, menggantikan mereka,” katanya yang menghadapi kelayakan Olimpik kedua selepas 1999.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1016&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4s54KjR7e
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan