Khamis, 7 September 2017

Kekal teraju B-19



Aziman Rosdi & Syafiq Aznan
sukan@hmetro.com.my
 
Petaling Jaya: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak merancang untuk melantik Bojan Hodak mengambil alih tugas Datuk Ong Kim Swee bagi membimbing skuad bawah 22 tahun (B-22) negara mengharungi pusingan akhir Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di China, Januari depan.

Perkara itu diakui sendiri Hodak yang menyatakan bahawa beliau kini fokus dengan tugasnya sebagai jurulatih skuad B-19 selepas menandatangani kontrak bersama FAM Julai lalu.

“Saya tidak tahu (dikaitkan dengan tugas membimbing skuad B-22). Saya hanya menandatangani kontrak sebagai jurulatih skuad B-19 selepas dihubungi oleh TMJ (Tunku Mahkota Johor), Presiden FAM Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebelum ini.

“Saya berminat dengan perancangan TMJ yang mahu memberi penekanan kepada pasukan B-19 kerana sebelum ini tidak diberi perhatian menyebabkan walaupun selepas berusia 20-21 tahun, mereka masih belum bersedia untuk menyertai pasukan senior,” katanya.

Apa yang dikatakan Hodak itu sekali gus menafikan dakwaan bahawa pelantikan jurulatih dari Croatia itu bersama skuad B-19 adalah langkah awal FAM untuk menggantikan Kim Swee yang bakal tamat kontrak Disember ini.

Kedudukan Kim Swee ketika ini hangat diperkatakan selepas beliau menyelesaikan misi besar tahun ini dengan pasukannya meraih pingat perak Sukan SEA apabila tewas 0-1 kepada Thailand di final Selasa lalu.

Beliau yang sebelum ini menjawat tugas sebagai jurulatih Harimau Malaya sebelum diarahkan menggantikan Frank Bernhardt, Mac lalu berjaya membawa skuad B-22 melakar sejarah layak ke Kejohanan AFC B-23 buat kali pertama selepas melepasi kelayakan di Bangkok bulan lalu.

Arena Metro sebelum ini melaporkan bahawa dua kejayaan itu menjadikan Kim Swee menjadi rebutan beberapa kelab Liga Super Indonesia (ISL) dengan salah satu daripadanya berpangkalan di Jakarta.

Hodak semalam berlepas ke Yangon, Myanmar bersama 23 pemain bagi menyertai Kejohanan AFF B-19 dan beliau tidak meletakkan sasaran tinggi kepada anak buahnya.

“Dalam kejohanan sebelum ini, kita tak pernah menjadi juara jadi saya tak mahu memberi tekanan kepada pemain. Dalam kelompok umur pemain ini, mereka tidak diberikan pendedahan yang banyak. Saya hanya mahu pemain memberikan aksi terbaik dan berusaha memenangi setiap perlawanan,” katanya.

Dalam kejohanan itu, Malaysia yang diundi dalam Kumpulan A akan berdepan Laos, Timor Leste, Kemboja, Singapura dan Thailand.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 September 2017 @ 3:06 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan