Jumaat, 8 September 2017

Malaysia tumpas dalam aksi pembukaan



ARKIB : 31/10/200

BANGALORE – Malaysia berdepan laluan perit untuk memburu tempat ke suku akhir Kejohanan Bola Sepak Belia Asia apabila tewas 2-1 kepada Vietnam pada perlawanan pertama Kumpulan D di Stadium Sree Kanteerava di sini, semalam.

Ia adalah kekalahan pertama skuad bawah 20 tahun negara bimbingan jurulatih, K. Rajagopal kepada pasukan itu selepas mereka seri 2-2 dalam Kejohanan Belia AFF di Kuantan, bulan lepas.

Gol jaringan sendiri pemain Malaysia, Baddrol Bakhtiar pada minit kesebelas menjadi titik tolak kekalahan skuad negara.

Baddrol tertanduk masuk bola ke gawang sendiri ketika cuba menghalang satu hantaran lintang pemain Vietnam, Nguyen Tinh Quang.

Sepanjang 45 minit babak pertama selepas itu, Malaysia menguasai permainan dan banyak melakukan percubaan dalam berusaha memburu gol penyamaan.

Skuad negara akhirnya berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan Mohd. Khyril Muhymeen Zambri pada masa kecederaan babak pertama.

Gol berpunca daripada percubaan ke gawang Vietnam oleh Safiq Rahim dari jarak 40 meter tetapi bola sepakan Safiq itu disambung dengan tandukan Mohd. Khyril yang terus menerjah jaring melepasi jangkauan penjaga gol Vietnam, Nguyen Binh Thanh.

Begitupun, Tinh Quang meranapkan impian Malaysia apabila menjaringkan gol kemenangan Vietnam pada minit ke-63 dengan merembat melepasi penjaga gol negara, Abdul Hadi Abdul Hamid.

Kekalahan itu meletakkan Malaysia di tangga terbawah kumpulan selepas satu perlawanan, di bawah Iraq dan Arab Saudi yang masing-masing mengutip satu mata selepas kedua-dua pasukan seri 2-2 dalam perlawanan terdahulu.

Vietnam di tangga teratas dengan tiga mata.

Malaysia akan bertemu Arab Saudi pada perlawanan kedua esok manakala Iraq menentang Vietnam.

Sementara itu, jaringan gol Mohamed Halkard pada lewat permainan membolehkan juara lima kali, Iraq mengikat Arab Saudi 2-2.

Iraq ketinggalan dua kali dalam perlawanan pembukaan kumpulan itu tetapi bangkit untuk menamatkan perlawanan sengit itu dengan berkongsi mata.

Arab Saudi, juara dua kali kejohanan ini, mendahului menerusi gol jaringan Ahmad Kabee pada minit kesembilan sebelum Ala’a Khahen menyamakan kedudukan untuk Arab Saudi pada minit ke-27.

Mohamed Al Sahlawi kembali meletakkan Arab Saudi di depan pada minit ke-52 tetapi Halkard menyamakan kedudukan lapan minit sebelum tamat perlawanan.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1031&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4s8IrMRHO
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan