Jumaat, 8 September 2017

Igauan di Kuantan menjelma



ARKIB : 30/10/2006

KUALA LUMPUR – Pengalaman nyaris kalah kepada Vietnam di Kuantan, bulan lalu, kembali menghantui K. Rajagopal dan skuad Bawah 20 Tahun Malaysia apabila menentang lawan yang sama dalam Kumpulan D Kejohanan Bola Sepak Belia Asia, hari ini.

Rajagopal, ketua jurulatih Malaysia, masih terbayang bagaimana ketahanan dan kesungguhan Vietnam sempat menghukum anak buahnya dengan dua gol awal sebelum terselamat dengan seri 2-2 dalam Kejohanan Belia AFF ketika itu.

Malaysia, naib juara di belakang Australia pada kejohanan itu, berjaya mencuri satu mata dengan Vietnam di Stadium Darul Makmur hasil jaringan penyamaan Manaf Mamat dan Ahmad Fakri Saarani.

“Vietnam tidak boleh dipandang mudah kerana pemain mereka mempunyai keazaman dan stamina tinggi sepanjang 90 minit,” katanya menjelang pertemuan di Stadium Sree Kanteerava, Bangalore, malam ini.

Yang penting menurut Rajagopal ialah memastikan gandingan pemain negara yang tepat dan terbaik diturunkan dalam memburu kemenangan sulung sekali gus mencerahkan peluang ke suku akhir.

Namun beliau mengakui, cuma memiliki pilihan pemain yang terhad untuk melakukannya ekoran kecederaan lima tonggak sebelum ke Bangalore malah yang terbaru ialah penjaga gol utama, Amini Ahmad Tabarani, Jumaat lalu.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1030&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4s6E3Uy13
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan