Jumaat, 8 September 2017

Aksi pertama tanpa Amini



ARKIB : 29/10/2006

BANGALORE: Persiapan skuad Malaysia Bawah 20 tahun menghadapi pusingan akhir Kejohanan Bola Sepak Belia AFC memulakan kempen pertama menentang Vietnam esok, tambah parah apabila giliran penjaga gol utama, Amini Ahmad Tabarani pula ditimpa kecederaan.

Kecederaan yang menimpa Amini Ahmad sewaktu menjalani latihan Rabu lalu melengkapkan episod malang jurulatih K. Rajagopal selepas lima pemain utama terpaksa diketepikan sebelum berangkat ke Bangalore.

Amini Ahmad terpaksa diketepikan dalam kesebelasan utama berdepan Vietnam dan perlawanan seterusnya selepas dia mengalami kecederaan koyak otot meniskus di bahagian lutut kanan.

Dia ditimpa kecederaan tersebut sewaktu menjalani latihan ketika merebah badan menangkap bola.

‘‘Kami datang awal ke sini (Bangalore) dengan harapan untuk menyesuaikan keadaan cuaca tetapi pada sesi latihan pertama Amini Ahmad ditimpa kecederaan serius.

‘‘Doktor perubatan yang merawat dia memberitahu otot meniskus di bahagian lutut koyak dan memerlukan masa panjang untuk pulih ,’’ ujar Rajagopal dengan nada kecewa.

Menurut beliau, kecederaan yang menimpa pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil itu sudah pasti menyaksikan dia terkeluar terus daripada menyarung jersi kebangsaan sepanjang kejohanan ini berlangsung.

Rajagopal jelas tertekan terpaksa menyisihkan penjaga gol utama skuad B20 itu ketika pertemuan penting berdepan Vietnam esok.

Sebelum skuad B20 berlepas ke Bangalore Rajagopal terpaksa mengetepikan lima pemain utama iaitu Mohd. Zaquan Adha Abd. Razak, tiga tonggak pertahanan Hardy Charles Parsi, Mohd. Arif Fazlie Saidin dan Mohd. Fauzi Ariffin serta pemain tengah, Mohd. Nuralif Zainal Abidin.

Kesemuanya tidak dapat disenaraikan akibat kecederaan.

Jurulatih itu menambah, ketiadaan Amini Ahmad memaksa beliau menyandarkan harapan di bahu penjaga gol nombor dua Irwan Jamil sambil itu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerbangkan penjaga gol simpanan Abdul Hadi Abdul Hamid ke Bangalore.

Ketiadaan Amini Ahmad sedikit mencacatkan kekuatan skuad B20 kebangsaan biarpun kehadiran Jamil mengambil alih tugas sebagai benteng terakhir menjadi penyelamat untuk bersaing dalam Kumpulan D.

Malaysia, yang melayakkan diri buat pertama kali dalam kejohanan itu selepas 27 tahun, diletakkan dalam Kumpulan D bersama pasukan Asia Tenggara, Vietnam, juara lima kali Iraq dan juga pemenang dua kali Arab Saudi, kedua-duanya pasukan pilihan.

Ujian pertama Jamil apabila berdepan dengan Vietnam esok sebelum disusuli pertemuan dengan juara dua kali Arab Saudi pada 1 November dan menutup saingan peringkat kumpulan berdepan juara lima kali Iraq pada 3 November.

Kesemua perlawanan membabitkan skuad B20 kebangsaan akan berlangsung di Stadium Sree Kaanterava

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1029&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4s6D10lso
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan