ARKIB : 27/10/2006
KUALA LUMPUR Belum pun
saingan bermula jurulatih skuad kebangsaan Bawah 20 Tahun, K. Rajagopal sudah
terasa bahang kehangatan terutama apabila berdepan dengan juara dua kali Arab
Saudi pada Kejohanan Bola Sepak Belia AFC di Bangalore, India bermula Ahad ini.
Ketika saingan awal berdepan
Vietnam dalam perlawanan pertama Isnin ini dianggap peluang cerah skuad B20
untuk menang, namun berdepan Arab Saudi yang muncul juara pada 1986 dan 1992
dianggap ujian paling getir.
Sejak dari awal lagi Rajagopal
menyifatkan Arab Saudi adalah salah satu pasukan pilihan dalam Kumpulan D untuk
layak ke peringkat seterusnya.
Rajagopal berkata, skuad itu
yang dibimbing oleh jurulatih berasal dari Brazil, Gilson Nunes berjaya
membentuk sebuah pasukan paling mantap dibarisi pemain muda yang berkaliber.
Mereka (Arab Saudi) telah
buat persiapan rapi dan tiba lebih awal di India untuk menyesuaikan keadaan
cuaca dan padang, ujarnya.
Rajagopal menambah, antara
pemain yang perlu diberikan perhatian apabila skuad kebangsaan berdepan Arab
Saudi pada perlawanan kedua 1 November ini ialah penyerang berkaliber Mohamed
Al Sahlawi yang bertindak cemerlang ketika menewaskan Syria 3-1, baru-baru ini.
Ujarnya, gandingan Mohamed
bersama Mohamed Al Bishi dan Nasir Al Selimi turut menggegar gawang Oman
apabila menang 4-2.
Bagi saya tidak hairanlah
saya meletakkan Arab Saudi sebagai salah satu pasukan pilihan untuk layak ke
suku akhir selain mereka memiliki barisan yang mantap terutama untuk kejohanan
ini, katanya.
Keupayaan Arab Saudi menewaskan
Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam dua perlawanan persahabatan termasuk
mengalahkan Iraq kata Rajagopal sudah membayangkan kekuatan sebenar lawan.
Malah, skuad bimbingan
jurulatih Nunes itu turut mengalahkan Vietnam.
Ini menunjukkan betapa Arab
Saudi sudah cukup bersedia dan bagi pasukan saya juga sudah membuat persiapan
dari segi fizikal dan mental apabila berdepan dengan mereka, ujarnya.
Arab Saudi muncul juara buat
pertama kali pada 1986 selaku tuan rumah apabila menewaskan Bahrain 2-0 dan
enam tahun selepas itu mereka mengecewakan Korea Selatan dengan jaringan yang
sama.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1027&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4s6A1VIyB
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan