V
Serbegeth Singh
Sejak malam Rabu, banyak yang
sudah dibincang, dibahas serta dihadamkan, tetapi jelas kegagalan menewaskan
Hong Kong membuktikan beberapa kelemahan di pihak kejurulatihan terutama ketua
jurulatih Nelo Vingada.
Kita sudah biasa dengan kitaran
semula alasan yang ada dalam bola sepak. Seperti mana FAM gemar kitar semula
kegagalan dengan melantik jurulatih untuk pasukan kebangsaan maka kini Nelo
Vingada pula membuka mulut dengan lantang.
Kita banyak mencipta peluang,
katanya tetapi tidak kelihatan penjaga gol Hong Kong menyelamatkan serangan
bertubi-tubi yang hanya berlaku di minda Vingada.
Pengadil menjadi punca mengapa
Malaysia hanya seri dengan Hong Kong di tempat kita sendiri. Pengadil dari
Australia melakukan tugas dengan baik kerana menguatkuasakan Undang-Undang
Permainan.
Kita di Malaysia boleh dianggap
matang serta peka dengan undang-undang bola sepak dan tiada sebab Rizal Ghazali
memasuki padang tanpa izin atau isyarat pengadil. Selaku pemain terbaik sebelum
diperintah keluar padang, Rizal sudah memberi aksi maksimum dengan melakukan
tanggungjawab sebagai pertahanan apatah lagi membantu serangan setiap kali
berpeluang.
Kita yakin Aidil Zafuan Abd
Razak pasti menyesal dengan tindakan menepis tangan pengadil sebaik saja
bertindak sebegitu. Dalam bola sepak kita boleh berperang mulut dengan
pengadil, tetapi menyentuh pengadil atau pegawai perlawanan ada padahnya.
Pemain pertahanan tengah ini mungkin tidak sedar tindakan Akram Mahinan
menghalang penyerang Hong Kong memang wajar diberi sepakan penalti.
Luahan paling sombong dari
Vingada pula menganggarkan pengadil akan terima layanan berbeza sekiranya
mengadili perlawanan di Mesir atau Iran. Apakah maksud Vingada membuat
tanggapan seperti itu?
Kita berharap FAM akan membuat
penjelasan mengenai kenyataan itu kerana kita tidak ingin melihat rusuhan di
luar stadium dengan kereta polis dibakar dan sebagainya.
Kita di Malaysia banyak
bersabar kerana menerima tahap pengadilan yang sederhana di negara kita, tetapi
Vingada ingin menghasut orang ramai kerana seorang pengadil antarabangsa
menjalankan tugas dengan sempurna.
Apa pula pekung di dada Vingada
yang ingin ditutup dengan menarik perhatian ramai melalui isu lain? Mari kita
lihat pula pemilihan pemain yang diturunkan menentang Hong Kong itu.
Vingada dianggap pengecut
apabila menurunkan dua pemain tengah bertahan Amirulhadi Zainal serta Kiko
Insa. Beraksi di laman sendiri menentang pasukan sederhana seperti Hong Kong
dan Vingada begitu takut?
Malam itu pula, kedua-dua
pemain ini beraksi pada tahap sebenar mereka - sederhana. Adakah Vingada
menganggap Insa sebagai pemain tahap antarabangsa? Nasir Basharuddin? Hafiz
Kamal? S Veenod? Saiful Ridzuan Selamat?
Seorang pemain yang
permainannya begitu terhad atau kaki tebang dipilih mewakili Malaysia
menunjukkan betapa cetek pemikiran serta kebolehan Vingada. Beliau membariskan
formasi 4-2-3-1, tetapi dengan Amirulhadi serta Insa maka formasi lebih
kelihatan seperti 4-0-3-1.
Inilah jurulatih yang diberi
tanggungjawab untuk membangkitkan bola sepak di Malaysia.
Dengan memilih dua pemain
tengah bertahan yang tidak berfungsi malam itu maka Baddrol Bakhtiar diletak di
posisi sayap kanan. Seorang pemain yang sudah berevolusi dan menjadi pemain
tengah terbaik sejak Piala AFF tahun lalu, pemain ini tenggelam aksinya kerana
Vingada.
Sekali lagi, penukaran pemain
melemahkan Malaysia apabila Ahmad Hazwan Bakri dibawa masuk bagi menggantikan
Amirulhadi. Pemain penyerang Johor Darul Ta’zim (Johor DT) itu dimasukkan untuk
memperkuatkan barisan serangan dengan gandingan bersama Darren Lok. Satu
gandingan serangan pemain simpanan Johor DT?
Dijangkakan kemasukan Ahmad
Hazwan akan bermakna Baddrol dibawa ke barisan tengah bagi membantu Safiq Rahim
kerana Insa sudah pancit, akan tetapi tidak berlaku penukaran posisi.
Ini memberi kelebihan kepada
barisan tengah Hong Kong yang mula menguasai permainan sehingga mencetuskan
emosi pemain Malaysia.
Perkara akhir yang anggap
membingungkan pula corak permainan ala-British yang diamalkan Vingada. Dengan
konsep melambungkan bola jauh ke arah penyerang kelahiran England Darren Lok,
maka kita sudah dapat lihat bagaimana hala tujuh masa depan bola sepak
Malaysia.
Seorang jurulatih yang
menggunakan alasan tak cukup masa bersama pemain apabila tewas kepada Lubnan,
kini menunjukkan tahap sebenarnya apabila turun padang dengan begitu pengecut.
Pemilihan serta percaturan
pemain menjadi sebab kita berjaya seri menentang Hong Kong yang membariskan dua
pemain - pemain berjersi nombor 9 dan 11 di barisan serangan yang begitu
sederhana - pernah dilihat di arena antarabangsa.
Cukuplah dengan alasan kitar
semula. Sekurang-kurangnya, mengakui sahajalah tahap sebenar kejurulatihan.
Pada Oktober cuaca di Korea
Utara agak sejuk dan kita lihat apa pula alasannya kali ini.
SUMBERArtikel ini disiarkan
pada : Sabtu, 9 September 2017 @ 4:56 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan