Ahad, 3 September 2017

Malaysia B23 tewaskan Olimpik UAE 2-1



ARKIB : 27/09/2006
KUALA LUMPUR – Skuad bola sepak kebangsaan bawah 23 meneruskan aksi cemerlang apabila melakar kemenangan kedua menewaskan skuad Olimpik Amiriyah Arab Bersatu (UAE) 2-1 pada perlawanan persahabatan di Dubai, kelmarin.

Ini adalah kemenangan kedua skuad bimbingan jurulatih Norizan Bakar yang dalam persiapan di UAE buat menghadapi temasya Sukan Asia di Doha, Disember ini.

Dalam sesi perlawanan pertama dalam kunjungan di UAE, skuad kebangsaan menewaskan kelab divisyen satu Al-Nasr 1-0.

Sewaktu berdepan Olimpik UAE, skuad kebangsaan dapat mengimbangi kekuatan lawan.

Asakan tuan rumah bermula sebaik babak berlangsung namun benteng pertahanan dikemudi oleh ketua pasukan, Norhafiz Zamani Misbah dan kecekapan Mohd. Iqbal Suhaimi dapat menyekat gerakan yang diatur.

Begitupun gandingan serangan Azlan Ismail dan Rudie Ramli mampu juga menggugat benteng pertahanan UAE.

Gol awal yang dicari skuad kebangsaan menyusul pada minit ke-32 hasil sepakan penalti Azlan.

Bermula daripada gerakan Mohd. Hardi Jaafar membuat hantaran ke kawasan kotak penalti UAE tepat ke arah Saramsak Kram tetapi dia dijatuhkan oleh benteng pertahanan UAE.

Pengadil perlawanan tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan oleh Azlan.

Gol awal itu menyemarakkan semangat juang tinggi anak didik Norizan apabila mereka banyak menguasai bola berbanding lawan.

Pada minit ke-67, Iqbal menjadi penghalang gol penyamaan UAE apabila dia berjaya menepis keluar sepakan penalti lawan.

Dalam pada itu Norizan turut membuat beberapa pertukaran.

Skuad kebangsaan memperoleh gol kedua beberapa minit perlawanan hendak ditamatkan.

Bermula daripada sepakan penalti kedua diperoleh tetapi pemain pertahanan V. Thirumurugan gagal melakukan sepakan menggegar jaring apabila ditampan penjaga gol UAE.

Bola tampanan itu bagaimanapun bergoleh ke arah Azi Shahril Azmi yang terus melepaskan rembatan kencang untuk gol kedua skuad kebangsaan.

‘‘Pemain saya bermain lebih teratur dan kemas kali ini. Mereka menunjukkan persefahaman mantap.

‘‘Bagaimanapun masih terdapat beberapa kekurangan ketika membuat hantaran dan sewaktu bermain di bawah tekanan,’’ ujar Norizan.

Selepas ini skuad kebangsaan akan berdepan Bahrain, pasukan yang berada dalam kumpulan yang sama dengan Malaysia di Doha

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0927&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4rchDCyqK
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan