Sabtu, 9 September 2017 |
6:27am
N THANABALAN tetap takutkan
pujian. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
Kalau tak main bola, saya jadi
pemandu lori
Oleh Mohd Azis Ngah
azis@bh.com.my
KETIKA sesi santai soal jawab
Berita Harian bersama N Thanabalan pagi tadi, penyerang skuad kebangsaan bawah
22 tahun (B-22) ini memberikan satu jawapan yang cukup mengejutkan.
Soalannya, apa perkara yang
paling menakutkan dalam hidupnya. Jawapannya cukup ringkas tetapi penuh makna.
Saya takut pujian.
Penulis menjangkakan Thanabalan
mungkin akan memberi jawapan takutkan ketinggian (gayat), ular, memandu laju
dan sebagainya.
Jika diteliti jawapan ringkas itu,
barulah penulis faham apa yang bermain di minda penyerang pasukan Felcra FC
ini.
Dia sebenarnya takut pujian
yang diraih ketika ini akan memakan diri, membuatkan dia lalai yang menjurus
kepada hilangnya fokus kepada matlamat hidup.
Memang benar, dia dilambung
hasil jaringan cantik ketika membantu Malaysia menewaskan Indonesia, Myanmar
dan Singapura di pentas Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) bulan lalu.
Daripada status 'tiada
apa-apa', kini dalam sekelip mata Thanabalan menjadi bintang pujaan ramai terutama
peminat sukan bola sepak tanah air.
Mungkin dia belajar daripada
sejarah - berapa ramai bintang bola sepak dunia yang musnah akibat hidup dalam
dunia terlalu glamour.
Lihatlah apa yang terjadi
kepada Dwight Yorke, bekas bintang Manchester United yang hanyut dan musnah
kariernya akibat wanita dan hiburan - semuanya kerana gagal mengawal diri.
Berapa ramai bekas atlet atau
pemain bola sepak negara yang menderita selepas bersara gara-gara tidak bijak
merancang ketika zaman mewah.
Mungkin atas sebab itulah dia
takutkan pujian, kerana jika tersilap langkah, gula manis itulah yang akan
menjadi barah.
Bagi penulis, jika Thanabalan
sentiasa berpegang kepada prinsip berpijak di bumi nyata, itu sudah cukup untuk
memastikan bintang yang sedang meningkat naik ini berada di landasan selamat.
Asalkan dia sentiasa menjadi
sempadan diri dan tahu batasan.
Dia akur, populariti yang
diraih ketika ini kadang kala membuatkannya sukar bergerak bebas seperti
sebelumnya. Itu hakikat yang perlu diterima selepas bergelar selebriti sukan.
Setiap langkah dan apa saja
yang dilakukan sentiasa menjadi perhatian dan perbualan. Apatah lagi dia lahir
di era maklumat di hujung jari - maklumat tersebar dalam tempoh sesaat.
Apa yang membuatkan penulis
bertambah kagum ialah sikapnya yang sentiasa mengutamakan keluarga.
Abang, saya bukan orang senang.
Ini (bola sepak) caranya saya mahu bantu keluarga. Itu kata Thanabalan, penuh
ikhlas.
Jika saya tidak berjaya dalam
bola sepak, mungkin saya akan kerja sebagai pemandu lori atau kerja kilang.
Saya tak tahu apa nasib saya, sekolah (pendidikan) pun tak berapa pandai.
Sebab itulah ketika diajukan
soalan apa yang akan dilakukan jika meraih wang tunai RM1 juta, Thanabalan
memilih untuk membina sebuah rumah yang selesa untuk keluarganya.
Kemudian, jika masih berbaki,
ia akan digunakan untuk memulakan perniagaan.
Bagi penulis, sikap merendah
diri ini perlu sentiasa kekal dalam diri mana-mana pemain sekali pun, namun
harus diingat jangan dek kerana kerana terlalu menunduk, jangan biarkan kepala
dipijak.
Selamat berjuang kepada
Thanabalan dan kapten pasukan B-22, Adib Zainuddin yang menggalas tugas berat
menjulang Felcra FC.
10 perkara menarik mengenai N
Thanabalan
1) Saiz kasut: 8 1/2
2) Kasut bola sepak pertama:
Mizuno
3) Makanan kegemaran: Nasi
putih dan kari (kedai mamak)
4) Hobi: Melepak bersama rakan
dan menonton perlumbaan kereta
5) Jika bukan seorang pemain
bola sepak: pemandu lori atau kerja kilang
6) Perkara paling ditakuti:
pujian
7) Teman wanita: sudah
berpunya, empat tahun berkenalan
8) Filem kegemaran: Ong-Bak dan
KL Gangster
9) Artis idola: Zizan Raja
Lawak
10) Jika memiliki wang RM1
juta: membina rumah untuk keluarga
SUMBER- BERITA HARIAN ONLINE Sabtu,
9 September 2017 | 6:27am
Tiada ulasan:
Catat Ulasan