Jumaat, 8 September 2017

B-18 AFF: Malaysia benam Timor Leste



Jumaat, 8 September 2017 | 10:42pm
 
SKUAD B-19 negara menewaskan Timor Leste 3-0 dalam saingan peringkat Kumpulan A Kejuaraan B-18 AFF 2017 di Stadium Aung San, Yangon, Myanmar. - Foto FAM
B-18 AFF: Malaysia benam Timor Leste
Oleh Mohamad Zulfaizan Mansor
zulfaizan@bh.com.my
           
KUALA LUMPUR: Skuad Bawah 19 Tahun (B-19) negara meneruskan rentak cemerlang pada kempen Kejuaraan B-18 AFF 2017 apabila menewaskan Timor Leste 3-0 di Stadium Aung San, Yangon, Myanmar, sebentar tadi.

Ia adalah kemenangan ketiga berturut-turut diraih skuad kendalian Bojan Hodak dalam saingan peringkat Kumpulan A, selepas menang 4-1 dan 3-1 masing-masing ke atas Laos dan Singapura sebelum ini.

Kemenangan itu menyaksikan skuad muda negara berada di kedudukan teratas kumpulan, berkongsi sembilan mata dengan Thailand di tangga kedua.

Pada aksi malam tadi, anak buah Hodak tidak menunggu lama untuk berada di depan menerusi jaringan Akhyar Abdul Rashid yang meledak gol pertama pada minit kelapan.

Keputusan itu kekal sehingga rehat sebelum Muhammad Nurfais Johari menjaringkan gol kedua pada minit ke-56.

Lima minit kemudian, Nabil Hakim Bokhari hampir menambah gol ketiga Malaysia, namun sepakan percumanya sekadar menggegar palang.

Kekecewaan itu bagaimanapun ditebus Saiful Iskandar Adha Saiful Azlan yang mudah menolak masuk bola hantaran Akhyar pada masa kecederaan babak kedua, sekali gus mengesahkan kemenangan buat skuad negara.

Malaysia akan berdepan KembojaAhad ini, sebelum menentang Thailand pada perlawanan terakhir kumpulan, Selasa depan
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Jumaat, 8 September 2017 | 10:42pm

Tiada ulasan:

Catat Ulasan