ARKIB : 12/10/2006
KUALA LUMPUR – Perlawanan
pembukaan menentang Vietnam bakal menjadi penentu nasib Malaysia pada Kejohanan
Bola Sepak Belia Asia di Kolkata, India dari 29 Oktober hingga 12 November ini.
Pertemuan dengan Vietnam
merupakan peluang terbaik buat skuad negara untuk mengutip mata penuh
memandangkan dua lagi pasukan yang bakal ditemui dalam Kumpulan D, Iraq dan
Arab Saudi adalah lawan yang lebih sukar.
Iraq turun sebagai penyandang
juara dan juara lima kali, manakala Arab Saudi pula menjuarai kejohanan ini
pada 1992 dan 1986, sekali gus meletakkan kedua-dua pasukan sebagai pilihan
untuk meraih dua kedudukan terbaik kumpulan.
Bagi Malaysia, kejohanan di
India ini hanyalah penampilan pertama mereka pada pusingan akhir selepas gagal
melayakkan diri dalam 27 kejohanan sebelumnya.
‘‘Kami mesti mengalahkan
Vietnam untuk mencerahkan peluang ke pusingan kedua, jika kalah atau seri dalam
aksi pembukaan, ia pasti menjanjikan laluan yang lebih sukar.
‘‘Strategi dua perlawanan
berikutnya banyak bergantung kepada hasil pertemuan dengan Vietnam, pasukan
yang kami fikirkan mampu ditandingi dan itulah fokus kami,’’ kata jurulatih
kebangsaan, K. Rajagopal pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.
Turut hadir adalah Setiausaha
Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad.
Menurut Rajagopal, kekalahan
kepada Vietnam adalah perkara pertama yang mahu dielakkan kerana ia tidak ubah
seperti menunjuk jalan keluar buat pasukan negara.
Kata Rajagopal lagi, persiapan
pasukannya kini sangat baik meskipun beberapa tonggak utama dibelenggu
kecederaan, termasuk ketua pasukan, Mohd. Zaquan Adha Abdul Razak.
Katanya, skuad bawah 20 tahun
negara akan berlepas ke Guangzhou, China untuk menjalani persiapan akhir tanpa
lapan tonggak utama yang diketuai oleh Zaquan.
Turut diketepikan daripada
pasukan yang akan berlepas pada 14 Oktober ini adalah Mohd. Arif Falie Saidin,
Farderin Kadir, Hardy Charles Parsi, Md. Nuraliff Zainal Abidin, Mohd. Farid Ramri,
Mohd. Shafiq Jamal serta penjaga gol, Mohd. Bunyamin Omar.
SMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1012&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4rhDUegam
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan