Ahad, 3 September 2017

FAM batal ujian Cooper



ARKIB : 08/1

Oleh: ABDUL RAZAK DIN

IPOH – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak lagi mewajibkan pemain yang didaftarkan bagi musim depan untuk menjalani ujian kecergasan Cooper (Cooper Test).

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan FAM, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar berkata, dengan pembatalan itu, semua pasukan tidak lagi diwajibkan menjalankan ujian berkenaan terhadap pemain baru mereka.

Sebelum ini, semua pemain yang ingin didaftarkan wajib menjalani ujian itu mulai musim 2005/2006 sebelum FAM mengeluarkan lesen pemain.

Beliau bagaimanapun berkata, keputusan FAM tidak mewajibkan ujian Cooper tidak bermakna para pemain boleh mengabaikan latihan kecergasan mereka.

‘‘FAM kini sedang mengenalpasti corak ujian kecergasan yang baru bagi menilai kecergasan pemain...ujian penting bagi memastikan pemain sentiasa mengekalkan kecergasan,” katanya kepada pemberita ketika mengadakan majlis berbuka puasa bersama anak-anak yakim Badan Kebajikan Islam Perak (Bakip) di Greentown di sini, semalam.

Badan induk bola sepak negara itu memperkenalkan ujian kecergasan itu bagi membantu pasukan dan kelab daripada melakukan kesilapan memancing pemain baru yang kurang cergas dan masih belum sembuh daripada kecederaan.

Raja Ahmad yang juga Naib Presiden FAM berkata, langkah mewajibkan ujian Cooper itu adalah untuk membendung keghairahan pasukan melamar pemain baru tanpa mengetahui tahap dan status kecergasan mereka.

Dalam pada itu, skuad bawah 20 tahun negara akan berada di China daripada 14 hingga 20 Oktober ini bagi latihan terakhir sebelum beraksi di Kejohanan Belia Asia di Bangalore, India.

Raja Ahmad berkata, pasukan itu membawa harapan besar negara untuk layak secara merit buat julung kalinya dalam kejohanan Piala Remaja Dunia jika mereka berjaya menduduki empat tempat teratas di Bangalore.

Kali pertama Malaysia layak menyertai Piala Remaja Dunia adalah semasa negara menjadi tuan rumah pada 1997.

Katanya, skuad remaja negara akan berlepas ke Bangalore pada 24 Oktober ini iaitu pada hari pertama Aidilfitri jika 1 Syawal jatuh pada hari tersebut.

Kejohanan Piala Asia di India bermula 29 Oktober ini.

Dalam kejohanan yang disertai 16 negara itu, Malaysia berada dalam Kumpulan D bersama Vietnam, Iraq dan Arab Saudi.

‘‘Negara meletak harapan besar kepada pasukan ini untuk menjadi empat pasukan Asia yang layak ke Piala Dunia tahun depan,” tambahnya.

Beliau berkata, selepas latihan akhir di China, hanya 22 pemain akan dipilih ke India daripada senarai 28 yang mengikuti latihan tersebut.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1008&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4rf78aLIs
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan