Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pengurus skuad
bawah 22 tahun (B-22) negara Datuk Wira Yusoff Mahadi menganggap khidmat Datuk
Ong Kim Swee masih diperlukan untuk membimbing pasukan negara bagi persediaan
mengharungi pusingan akhir Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di
China Januari depan.
Beliau berkata, kejayaan
membawa skuad muda negara layak secara automatik buat kali pertama ke kejohanan
itu serta meraih perak Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur, Selasa lalu membuktikan
kemampuan Kim Swee mencapai sasaran ditetapkan Persatuan Bolasepak Malaysia
(FAM).
“Skuad yang dibimbing Datuk Ong
Kim Swee mencapai keputusan baik di dua kejohanan besar tahun ini. Pasukan ini
melepasi kelayakan AFC (B-23) di Bangkok bulan lalu dan layak ke final Sukan
SEA.
“Walaupun kita kalah kepada
Thailand (0-1) dan meraih perak, kejayaan mara ke final Sukan SEA itu boleh
dianggap baik seperti diakui sendiri Presiden FAM Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
“Semua pemain menunjukkan
semangat juang tinggi pada final itu cuma nasib tidak menyebelahi kita. Saya
fikir dua pencapaian ini boleh dijadikan asas penilaian untuk FAM menentukan
kedudukan Kim Swee nanti,” katanya kepada Arena Metro semalam.
Akhbar ini kelmarin melaporkan
mengenai nasib Kim Swee yang masih belum pasti untuk membimbing skuad B-22
selepas kontraknya berakhir 31 Disember ini.
Malah difahamkan ada beberapa
kelab utama Liga Super Indonesia (ISL) termasuk satu kelab berpangkalan di
Jakarta berminat mendapatkan khidmat bekas jurulatih kebangsaan itu.
Bagaimanapun Kim Swee, 46,
enggan memberi sebarang komen mengenai spekulasi itu sebaliknya mahu memberi
fokus kepada proses perbincangan dengan FAM mengenai lanjutan kontraknya dalam
masa terdekat ini.
Yusoff yang juga Timbalan
Presiden FAM berkata, segala keputusan bergantung kepada penilaian Jawatankuasa
Teknikal dan beliau berharap kata putus dapat dicapai kerana mereka hanya ada
lebih kurang empat bulan sebelum menghadapi Kejohanan AFC B-23.
“Kejohanan AFC akan berlangsung
Januari tahun depan, saya fikir untuk meletakkan jurulatih baru agak susah
kerana masa agak singkat. Peluang untuk kontrak Kim Swee disambung ada tapi
bergantung kepada keputusan pihak pengurusan.
“Kalau mengikut perancangan
awal, pemain perlu dipanggil semula Disember ini sebelum ke China. Kali ini
kita perlu melakukan persiapan lebih rapi dan bukannya secara tergesa-gesa
untuk menyediakan pasukan lebih mantap,” katanya.
SUMBERArtikel ini disiarkan
pada : Sabtu, 2 September 2017 @ 3:04 AMN
Maafkan salah saya – Haziq
REAKSI kecewa penjaga gol
Malaysia, Haziq Nadzli selepas bola
REAKSI kecewa penjaga gol
Malaysia, Haziq Nadzli selepas bola yang ditumbuknya masuk ke gawang sendiri
pada saingan akhir bola sepak antara Malaysiamenentang Thailand di Stadium Shah
Alam.
31 Ogos 2017 3:00 AM
KUALA LUMPUR 30 Ogos - Penjaga
gol Malaysia, Haziq Nadzli menyifatkan kesilapan yang dilakukannya ketika final
Sukan SEA menentang Thailand di Stadium Shah Alam semalam yang berkesudahan
tewas 0-1 menjadi pengajaran berguna buat dirinya.
Mengakui menjadi punca kepada
kekalahan tersebut, penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT) itu tidak mahu menoleh
ke belakang sebaliknya terus pandang ke depan.
“Pertama sekali saya memohon
maaf kepada semua kerana disebabkan prestasi dan kesilapan saya telah menjadi
punca kepada kekalahan pasukan. Jika saya dipanggil lagi selepas ini saya akan
buat yang terbaik.
“Pada waktu itu, bola berada
dalam lencongan dan saya nak tumbuk tetapi dengan cuaca hujan dan basah
menyebabkan saya terlepas melakukannya. Nak buat macam mana bukan rezeki saya
dan bukannya saya sengaja. Kalau sengaja lebih baik saya beritahu awal-awal saya
tidak mahu main,” katanya.
Haziq gagal menjinakkan sepakan
sudut Sasalak Haiprakhon pada minit ke-38 sebelum bola masuk ke gawang sendiri.
Kesilapan yang sama turut berlaku pada 16 tahun lalu apabila penjaga gol waktu
itu, Kamarulzaman Hassan menampan bola masuk ke gawang sendiri menentang lawan
yang sama juga di venue yang sama.
Tambah Haziq, dia berterima
kasih kepada rakan sepasukan dan jurulatih, Datuk Ong Kim Swee yang sentiasa
memberi semangat dan menerima kritikan peminat dengan hati terbuka.
“Saya kecewa dengan kekalahan
malam ini tetapi nak buat macam mana sebab dalam bola sepak sepuluh kali saya
selamatkan gawang orang tak akan ingat, orang ingat satu sahaja kesilapan saya.
“Terima kasih kepada mereka
yang memberikan semangat kepada saya dan siapa yang cakap (kritik) saya abaikan
mungkin mereka tengah marah,” katanya.
SUMBER-UTUSAN MALAYSIA ONLINE
31 Ogos 2017 3:00 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan