Khamis, 14 Disember 2017

Zaki pertahan skuad negara

ARKIB : 14/12/2008
KUALA LUMPUR - Penolong jurulatih bola sepak negara, Mohamad Zaki Sheikh Ahmad kesal dengan sikap sesetengah pihak yang hanya terlalu memandang keputusan perlawanan Kumpulan B Piala Suzuki AFF di Phuket daripada memikirkan kemajuan gandingan dan persembahan pasukan yang dibentuk selama tujuh bulan.

Tegas beliau, hanya kerana kekalahan 2-3 kepada Vietnam yang meragut tiket separuh akhir kejohanan ekoran kesilapan individu dan ketumpulan penyudah, seluruh pasukan kebangsaan bagaikan dihukum tanpa sebarang ruang diberikan untuk mereka membela diri dan masa bagi menebusnya semula.

"Kami jurulatih hanya mahukan mereka menilai dengan adil dan soal lain seperti kemajuan pasukan antaranya kenaikan ranking dunia (ke-150) dalam tempoh itu. Sekurang-kurangnya peningkatan sudah ada untuk dijadikan panduan dan bukannya semata-mata berdasarkan keputusan di Phuket itu," katanya kepada Mingguan Malaysia, semalam.

Agak malang, jelasnya, jika gandingan pemain muda dan senior sekarang yang dianggap mulai meningkat itu, dibubarkan, malah mungkin dirombak besar-besaran sekiranya barisan jurulatih baru selepas ini dibentuk untuk menggantikan barisan pimpinan B. Sathianathan yang kontraknya berakhir hujung bulan ini.

"Saya bukan sengaja mencari alasan untuk melindungi kegagalan pasukan. Cuma selepas menentang Vietnam, pemain lawan sendiri menyanjungi corak permainan dan penguasaan bola pemain kita, malah mereka mengakui cuma menang kerana nasib (dengan kesilapan jangkaan penjaga gol Helmi Eliza Elias)," ujarnya.

Malaysia mengulangi pencapaian terkandas sejak peringkat kumpulan lagi seperti skuad bimbingan Hatem Souissi pada Piala Tiger (nama lama kejohanan) 1998 di Vietnam, selepas dibenam Thailand 0-3, Khamis lalu, malah agak merosot jika dibandingkan dengan kemaraan ke separuh akhir di bawah Norizan Bakar, tahun lalu.

Bagaimanapun, Mohamad Zaki mengakui, beliau dan rakan jurulatih sudah bersedia menghadapi segala kemungkinan sekiranya Jawatankuasa Pengurusan Pasukan yang bersidang di Wisma FAM, Kelana Jaya, esok, memutuskan untuk tidak menyambung khidmat mereka sekali gus mendapatkan barisan jurulatih baru.

"Jika ada lagi tawaran daripada FAM, saya tidak akan menolak," ujar bekas jurulatih Negeri Sembilan itu.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1214&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz51EJoNM4r

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan