Isnin, 18 Disember 2017 |
12:30am
CHENG Hoe berdepan tugas sukar
untuk mengubah suasana dalam skuad Harimau Malaya. - Foto Zulkarnain Ahmad
Tajuddin
Devinder Singh
devinder@nst.com.my
KUALA LUMPUR: Jika Tan Cheng
Hoe berhasrat menjadi jurulatih skuad kebangsaan pertama yang meraih kemenangan
pada perlawanan sulung dalam tempoh 14 tahun, beliau perlu segera mengembalikan
keyakinan anak buahnya.
Selepas gagal meraih sebarang
kemenangan dalam 10 perlawanan sejak November 2016, keyakinan mereka kian goyah
dan Cheng Hoe berdepan tugas sukar untuk mengubah suasana dalam skuad Harimau
Malaya.
Cheng Hoe yang menggantikan
Nelo Vingada yang meletak jawatan selepas sekadar meraih satu keputusan seri
dalam tujuh perlawanan kini sedang merangka perancangan untuk beberapa aksi
persahabatan menjelang Piala AFF Suzuki 2018, hujung tahun depan.
Aksi pertama Cheng Hoe adalah
perlawanan terakhir Kelayakan Piala Asia 2019 bertemu Lubnan pada 27 Mac, namun
beliau mengharapkan dapat menjalani satu aksi pemanas badan sebelum bertolak ke
Beirut.
"Bagus jika dapat
mengharungi perlawanan ujian menentang mana-mana pasukan sebelum bertemu
Lubnan.
"Setakat ini, kita belum
mengenalpasti pasukan lawan tetapi kita merancang mengadakan beberapa
perlawanan persahabatan tahun depan," katanya.
Dalam perkembangan lain, Cheng
Hoe enggan meletakkan sasaran khusus dalam Piala Suzuki AFF 2018 yang bakal
menampilkan format baharu pada edisi tahun depan.
"Tugasan utama saya
sememangnya Piala Suzuki AFF, namun saya belum ada apa-apa lagi sasaran,"
kata bekas pembantu Datuk K Rajagobal itu.
"Perkara utama adalah
untuk mendapatkan kembali keyakinan daripada kalangan pemain. Aksi pertama
sudah tentu penting, jadi saya sedang mencari lawan yang bersesuaian sebelum
kami menentang Lubnan," katanya.
SUMBER BERITA HARIAN ONLINE 18 Disember
2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan