Selasa, 12 Disember 2017

Kita ke separuh akhir

ARKIB : 15/11/2008
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
KUALA LUMPUR - Malaysia mara ke separuh akhir bola sepak Piala Cabaran Grand Royal Ketiga sekalipun diikat 1-1 oleh kelab Ulsan Hyundai Tigers dari Korea Selatan dalam perlawanan kedua Kumpulan B di Pusat Latihan Belia Thuwunna, Yangon, Myanmar, semalam.

Berbekalkan empat mata, skuad negara bimbingan B. Sathianathan cuma perlu menanti keputusan perlawanan antara kelab itu dengan skuad bawah 22 tahun Vietnam, esok untuk menentukan juara atau naib juara Kumpulan B serta lawan pada separuh akhir, Selasa ini.

Rabu lalu, Malaysia mengorak langkah kanan dengan membalas dendam terhadap Vietnam yang menghampakan mereka pada perlawanan akhir Pestabola Merdeka Ke-40 di Bukit Jalil, bulan lalu menerusi kemenangan 3-0.

Penyerang muda Negeri Sembilan, Zaquan Adha Radzak mengejutkan kelab bimbingan bekas pemain kebangsaan Korea Selatan dari 1962 hingga 1971, Kim Jung-nam itu selepas merembat masuk hantaran lintang Safee Sali pada minit ke-68.

"Dia yang menggantikan Indra Putra Mahayuddin yang tercedera dan terpaksa dikeluarkan pada minit ke-32, mengawal dengan baik hantaran itu sebelum menewaskan seorang pemain lawan dan merembat masuk," katanya dari Yangon kepada Utusan Malaysia, semalam.

Katanya, skuad negara mencipta banyak peluang untuk menambah gol antaranya menerusi Safee, ketua pasukan, Shukor Adan, Amirulhadi Zainal serta Khyril Muhymeen Zambri yang cuma berdepan satu sama satu dengan penjaga gol Ulsan Hyundai Tigers.

"Gol lawan dihasilkan oleh Seo Syeong Hwan. Saya tidak pasti sama ada kelab itu turut memiliki pemain kebangsaan Korea Selatan tetapi mengenali segelintir daripada mereka yang pernah mewakili skuad Olimpik," katanya.

Dalam formasi 4-5-1 ini, Sathianathan menurunkan Syed Adney Syed Hussein sebagai penjaga gol yang diapit oleh bek kiri Asraruddin Putra Omar dan Daudsu Jamaluddin (kanan) manakala bek tengah membariskan Aidil Zafuan Radzak dan Norhafiz Zamani Misbah.

Shukor dan Hardi Jaafar yang menjaringkan gol menentang Vietnam, mengemudi bahagian tengah sementara Khyril bermain di sayap kiri dan Amirulhadi Zainal selaku sayap kanan selain Indra bertindak sebagai pemain tengah menyerang untuk membantu Safee dari belakang.

Sementara itu, perlawanan kelmarin menyaksikan Indonesia terus menerajui Kumpulan A selepas menewaskan Bangladesh 2-0 hasil jaringan Firman Utina dan Mushafry pada minit ke-10 dan 46.

Setelah diikat Bangladesh tanpa jaringan, Selasa lalu, Myanmar cuma perlu mengulangi seri apabila menentang Indonesia, hari ini untuk membawa kedua-duanya ke separuh akhir kejohanan yang menawarkan ganjaran RM54,000 kepada juaranya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1115&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz5172D1od2

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan