ARKIB : 01/02/2009
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
dan FERZALFIE FAUZI
sukan@utusan.com.my
ZAQUAN ADHA
KUALA LUMPUR Rata-rata pemain
kebangsaan menyangkal andaian bahawa mereka sudah tidak mempunyai semangat
patriotik dan hanya memikirkan imbuhan ketika mewakili skuad bola sepak negara
sehingga menyebabkan mereka dibelasah 5-0 oleh Emiriyah Arab Bersatu (UAE)
dalam perlawanan Kumpulan C Kelayakan Piala Asia 2011, baru-baru ini.
Kepada Mingguan Malaysia,
mereka menganggap soal tidak patriotik tak akan timbul pada diri pemain yang
kerap diberi peluang menyarung jersi negara apatah lagi bermain di gelanggang
sendiri walaupun umum mungkin mengaitkannya dengan punca kekalahan pada aksi di
Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur itu.
Pemain tengah negara dan
Selangor, Hardi Jaafar, 30, yang hairan dengan isu ini turut lantang
mempersoalkan siapa yang tidak mempunyai semangat patriotik, sama ada pemain
dan peminat.
Siapa yang tidak patriotik
sebenarnya? Kami, skuad negara atau peminat bola sepak. Orang yang patriotik
sepatutnya akan sentiasa bersama pasukan - tidak kira menang atau kalah. Bukan
masa menang sahaja.
Kami sudah buktikan dengan
turun bermain walaupun dikecam selepas di Phuket. Sepatutnya sebelum lawan UAE,
perlu ada satu dua perlawanan persahabatan kerana rentak Liga M dengan
antarabangsa jauh berbeza, katanya yang mewakili negara sejak perlawanan
persahabatan dengan New Zealand pada 19 Februari 2006.
Rakan seperjuangan dari Negeri
Sembilan, Zaquan Adha Radzak, 22, pula menyifatkan pihak yang kerap mengecam
skuad negara khususnya setiap kali kalah sebenarnya tidak tahu atau tidak
pernah mengalami sendiri segala perit jerih dan kebanggaan berjuang di atas
padang.
Saya tidak kisah apa orang
kata kerana bagi saya, mereka tidak mengalami apa yang dihadapi di atas padang.
Ia (bermain untuk negara) bukan senang untuk dilakukan. Memang lumrah manusia
hanya tahu bercakap sedangkan kejadian itu tidak berlaku pada diri mereka.
Tiada mana-mana pemain atau pasukan pun mahu kalah, tegasnya.
Sementara itu, bek kiri dari
Selangor, Asraruddin Putra Omar, 21, yang terlepas peluang menentang UAE tetap
merasai keperitan kecaman pelbagai pihak selepas kegagalan Malaysia ke separuh
akhir Piala Suzuki AFF di Phuket, bulan lalu, berkata: Dipanggil mewakili
negara ibarat satu peluang, tanggungjawab dan penghormatan besar buat seseorang
pemain bola sepak.
Kutukan orang yang muncul bila
kami kalah pula seperti lumrah dalam sukan ini. Bila menang, ada yang memuji
dan bila kalah, ramai yang mengeji tetapi bagi saya, setiap itu bakal
merangsang saya untuk terus memandang ke depan dan cuba memperbaiki segala
kegagalan lalu demi kemajuan bola sepak negara, katanya.
Penjaga gol kebangsaan,
Syamsuri Mustafa, 28, yang tercedera rahang ketika berdepan UAE - bukti
semangat juang dan pengorbanannya setelah diketepikan hampir dua tahun -
menegaskan: Jika dikatakan kami tidak patriotik, sudah lama saya sendiri
menolak panggilan jurulatih, B. Sathianathan untuk bermain dalam kelayakan itu.
Ada banyak sebab lain kami
kalah dan jangan lupa persediaan pasukan sebelum itu memang terlalu singkat
apatah lagi Liga Malaysia baru bermula dan jadualnya sudah padat, katanya yang
terpaksa diketepikan beberapa minggu daripada T-Team angkara kecederaan itu
dalam persaingan Liga Perdana dan Piala FA, bulan ini.
Dalam pada itu, pengganti
Syamsuri selepas Malaysia dibolosi tiga kali oleh UAE, Syed Adney Syed Hussein,
23, pula berkata, tahap permainan skuad negara dengan lawan yang jauh berbeza
merupakan antara faktor utama yang mempengaruhi keputusan buruk kelayakan itu.
Ada juga faktor lain seperti
kesilapan individu yang berlaku sehingga mendorong kekalahan itu, begitu juga
keadaan fizikal dan kecergasan pemain tetapi jangan sesekali mempertikaikan
apakah kami tidak patriotik kepada skuad negara dalam menjulang kejayaan
Malaysia, kata pemain tinggi lampai UPB-MyTeam kelahiran Liverpool, England
ini.
Bek tengah simpanan negara, S.
Subramaniam, 24, dari Perak juga tidak bersetuju dengan tanggapan sesetengah
pihak bahawa pemain kebangsaan tidak patriotik kerana buktinya mereka masih
sanggup menghadiri sesi latihan sebaik sahaja dipanggil malah terus menyarung
jersi negara sejurus selepas dikecam hebat kerana gagal di Phuket.
Saya lebih senang jika punca
kekalahan dengan UAE itu dikaitkan dengan kurangnya persediaan pasukan. Lagipun
lawan bukan calang-calang pasukan, mereka baru habis bermain dengan pasukan
yang handal dalam Piala Teluk di Oman sedangkan pemain kita hanya bermain
dengan pasukan tempatan dalam Liga M, katanya.
Penyerang senior dari Perlis,
Nizaruddin Yusof, 30, yang masih mendapat kepercayaan untuk membarisi skuad
negara walaupun terlepas peluang menentang UAE kerana kecederaan, berkata: Ia
masih menjadi satu kebanggaan bagi saya setiap kali jurulatih memanggil saya
bagi menghadapi perlawanan antarabangsa.
Komitmen saya kepada tugas itu
tetap 100 peratus tanpa sesekali mempedulikan apa kata orang sama ada saya
sudah tua atau tidak layak lagi bermain pada perlawanan antarabangsa. Sekalipun
sukar menyertai kesebelasan utama, saya masih percaya ruang untuk menabur bakti
kepada Malaysia masih ada termasuk sebagai pemain simpanan, katanya.
Bagi Hairuddin Omar, 30, yang
masuk sebagai pemain gantian dalam aksi sulung Kumpulan C menyifatkan dakwaan
bahawa mereka sepasukan tidak bersemangat patriotik sehingga dibolosi lima gol
sebagai satu tohmahan yang keterlaluan dan tidak boleh diterima langsung.
Kalau tidak patriotik, saya
tidak akan muncul berlatih dan bermain. Orang lain boleh bercakap apa sahaja
yang mereka suka dan jika mereka berterusan bersikap begini, siapa lagi yang
sanggup tahan untuk menyarung jersi negara, katanya yang membarisi pasukan
yang dikecam teruk ketika dibelasah China 5-1 dan Uzbekistan 5-0 dalam Piala
Asia 2007.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0201&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz51bKKaQmZ
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan