ARKIB : 03/02/2009
Oleh MOHD. RAFIE AZIMI
sukan@utusan.com.my
KUALA LUMPUR Kedengaran
seperti tidak masuk akal tetapi hakikatnya hanya ada lebih kurang 60 daripada
600 pemain yang berdaftar dengan FAM layak dipanggil untuk bermain dengan skuad
utama kebangsaan.
Bunyinya janggal namun itulah
hakikat yang lantang disuarakan oleh pengendali PKNS yang juga bekas jurulatih
pasukan negara, Abdul Rahman Ibrahim pada pertemuan bekas pemain kebangsaan
bersama Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam.
Menurut Abdul Rahman, angka 60
pemain itu dicongak setelah mengambil kira hanya ada tiga atau empat pemain
utama di dalam sesebuah pasukan negeri dan kelab selain menolak jumlah pemain
simpanan serta pemain muda.
Daripada 60 pemain itu, apa
yang boleh kita harapkan? Jurulatih negara tentunya mempunyai pilihan yang
terhad selain terpaksa memilih muka yang sama setiap kali beraksi. Ia jelas
menunjukkan kita gagal melahirkan pemain yang berkualiti, tegasnya.
Abdul Rahman dalam sesi itu
turut tidak gentar menempelak barisan pentadbiran Persatuan Bola Sepak Malaysia
(FAM).
Jika Malaysia bertemu
Manchester United, berderu-deru wakil FAM hadir ke stadium tetapi jika Malaysia
berdepan UAE atau beraksi pada kejohanan antarabangsa yang lain, berapa ramai
yang hadir memberi sokongan? katanya sinis.
Benteng terakhir negara era
80-an, Rashid Hassan juga turut bersetuju dengan pandangan Abdul Rahman
mengenai kekurangan pemain berkualiti yang dialami negara ini.
Menangislah air mata darah
sekali pun tetapi kita perlu berpijak di bumi nyata, hanya inilah pemain yang
ada untuk kita pertaruhkan di peringkat antarabangsa.
Justeru perlu ada mekanisme
yang tepat untuk meningkatkan mutu permainan pasukan ini dan salah satunya
adalah memberi pendedahan kepada para pemain melalui perlawanan persahabatan
dengan pasukan hebat dari luar negara, katanya.
Sementara itu bekas pemain
kebangsaan era 70-an, Abdullah Ali pula mengusulkan agar FAM mewujudkan satu
akta yang boleh dijadikan petunjuk kepada kepimpinan badan induk itu.
Menurutnya, pemimpin bola sepak
Korea dan Jepun akan meletak jawatan sekiranya gagal membawa kebaikan kepada
pasukan masing-masing.
Tidak seperti di Malaysia,
para pemimpin badan sukan masih terus memegang jawatan sekali pun pasukan yang
dipimpinnya gagal menonjol untuk satu jangka masa yang panjang.
Justeru perlu ada semacam satu
garis panduan digubal bagi memberi kesedaran kepada para pemimpin seperti itu,
ujarnya.
Pemain kebangsaan era 80-an, Azlan
Johar pula berharap agar lebih banyak peranan dapat dimainkan dan diberi kepada
para bekas pemain kebangsaan.
Kebanyakan kami memiliki
pengalaman, pengetahuan serta semangat yang tinggi untuk mengembalikan mutu
bola sepak negara.
Mungkin kami boleh dihantar ke
sekolah-sekolah untuk mendidik para pemain di peringkat akar umbi, katanya
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0203&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz51gh07w1j
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan