ARKIB : 24/10/2008
Safee Sali (kiri) terjatuh
selepas diasak pemain Myanmar, Han Win Aungpada perlawanan separuh akhir
Pestabola Merdeka 2008. Malaysia menang 4-0.
- Gambar SHAIFUDIN MOHD. NOR
KUALA LUMPUR - Harimau Malaya
mengamuk sakan dengan bertemankan 20,000 penyokong untuk menghampiri kejuaraan
bola sepak Pestabola Merdeka apabila mengganyang Myanmar 4-0 pada perlawanan
separuh akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam, lapor ABDUL HAFIZ
AHMAD dan FERZALFIE FAUZI.
Dua jaringan Indra Putra
Mahayuddin pada minit ke-25 dan 75, Safee Sali (m-61) dan Amirulhadi Zainal
(m-83) berjaya menempah tiket perlawanan akhir menentang Vietnam termasuk untuk
mempertahankan gelaran 2007 di gelanggang sama, esok.
Terdahulu, dalam satu lagi
perlawanan separuh akhir, menyaksikan Vietnam mengatasi Sierra Leone dengan
semangat kebangkitan menerusi kemenangan penentuan penalti 3-2 selepas terikat
2-2 termasuk dalam masa tambahan.
Gol pertama skuad negara tiba
juga daripada rembatan deras sepakan percuma Indra Putra sepakan sejauh 25 meter
di luar kotak penalti untuk merobek sudut kiri gawang lawan tanpa mampu digapai
penjaga gawang Myanmar, Lwin pada minit ke-25.
Menerusi satu umpanan lambung
Hardi pada minit ke-61, Safee yang mengutipnya tidak menghampakan Malaysia lagi
apabila memperdayakan penjaga gol lawan dengan gelecek dan tolakan masuk untuk
gol kedua negara.
Sentuhan Indra terus menjadi
untuk gol ketiga Malaysia menerusi sepakan penalti pada minit ke-75 setelah
Safee dijatuhkan dalam kotak penalti Myanmar.
Kegagalan terdahulu Amirulhadi
pula lupus dengan jaringan keempat untuk Malaysia pada minit ke-83 setelah dia
menolak masuk umpanan Indra.
Mengulas mengenai kemenangan
itu, jurulatih negara B. Sathianthan berkata ia sebagai hadiah Hari Keputeraan
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah hari ini.
"Kemenangan ini
membolehkan sambutan Hari Keputeraan Sultan Ahmad Shah disambut dengan lebih
meriah Jumaat nanti namun kami masih mempunyai tugas pada pertemuan akhir
(esok).
"Disebabkan kekangan
pemain negara yang baik pada perlawanan malam ini, Myanmar tidak dapat
menjalankan corak permainan sebenar mereka dan terlalu berhati-hati sehingga
memberi ruang kepada pemain negara membolosi gawang mereka.
"Namun, kami masih perlu
berhati-hati pada perlawanan akhir nanti. Ini disebabkan Vietnam akan
memberikan persembahan lebih bertenaga dan menumpukan perhatian 120 peratus
Sabtu nanti," tambah Sathia lagi.
Menurut Sathia, tiada yang
mudah atau lawan senang pada skuad negara dan mereka perlu menghormati lawan
serta berkerja keras untuk menang.
Dalam pada itu, Safee berkata:
"Jaringan saya datang daripada kerjasama padu barisan serangan dan tengah
serta semangat berpasukan yang ada pada skuad negara.
"Tidak dilupa, kepada
penyokong negara yang membanjiri stadium dengan sorakan padu yang memberikan
kami semangat yang begitu membara," katanya.
Sementara itu, penjaga gol
Vietnam, Bui Tan Truong muncul wira pasukannya apabila menyelamatkan dua
sepakan penentuan penalti Sierra Leone oleh Mumino Khomson Kamara dan Amara
Kamara manakala satu lagi tersasar. Gol penalti Vietnam pula disempurnakan oleh
Hoang Nat Nham, Phan Thanh Binh dan Nguyen Duc Thien.
Bagaimanapun Sierra Leone
memecah kebuntuan jaringan pada minit ke-38 menerusi Mohamed Kabia yang
melakukan sungkitan melepasi penjaga gol Vietnam Bui Tan Truong sebelum gerakan
solo Dwight Foray menambah gol pada minit ke-67.
Vietnam bangkit dua kali untuk
menyamakan kedudukan menerusi sepakan lambung pemain gantian Trinh Quang Vinh
pada minit ke-73 dan rembatan leret Nguyen Duc Thien, lapan minit sebelum
tamat.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1024&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz510aQurI0
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan