Selasa, 12 Disember 2017

Dendam Malaysia berbalas

ARKIB : 13/11/2008
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
KUALA LUMPUR - Skuad bola sepak negara membuka kempen Kumpulan B Piala Cabaran Grand Royal Ketiga di Myanmar dengan membalas dendam terhadap skuad bawah 22 tahun Vietnam yang menghampakan mereka ketika Pestabola Merdeka, apabila menang 3-0, semalam.

Perlawanan di Pusat Latihan Belia Thuwunna, Yangon itu menyaksikan gol-gol Malaysia dijaringkan oleh Indra Putra Mahayuddin, Amirulhadi Zainal dan Hardi Jaafar pada minit ke-26, 40 dan 55.

Indra merembat voli umpanan lintang Amirulhadi dari sebelah kanan untuk membuka gol skuad negara yang masih terasa kekalahan 6-5 menerusi penentuan penalti perlawanan akhir Pestabola Merdeka Ke-40 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, bulan lalu.

Giliran Amirulhadi membolosi gawang lawan tiba setelah sayap kanan Selangor itu menyambar dan menolak masuk bola yang muntah daripada tangkapan penjaga gol akibat rembatan kencang penyerang utama, Safee Sali.

Babak kedua permainan yang baru berusia 10 minit pula menyaksikan pemain tengah, Hardi mudah menjaringkan gol terakhir Malaysia ketika cuma berdepan penjaga gol Vietnam gara-gara kesilapan perangkap ofsaid benteng lawan.

Jurulatih negara, B. Sathianathan yang dihubungi dari Yangon, berkata kepada Utusan Malaysia: "Kami menentang lawan yang membariskan hampir kesemua pemain yang sama yang menjuarai Pestabola Merdeka lalu.

Ketinggalan

"Malangnya, setelah ketinggalan tiga gol, Vietnam mula mempamerkan corak permainan yang kasar sehingga mengakibatkan dua pemain pertahanan kita, Irwan Fadzli Idrus dan Aidil Zafuan Radzak serta Hardi tercedera," katanya.

Skuad negara yang akan menentang kelab Korea Selatan, Hyundai Ulsan Tigers untuk melengkapkan jadual Kumpulan B, esok, turut menjadikan kejohanan ini sebagai persediaan ke misi kemuncak - Piala Suzuki AFF, bulan depan.

Malaysia cuma perlu seri dengan kelab tersebut untuk mara ke separuh akhir sekali gus menghidupkan peluang memburu ganjaran AS$15,000 (RM53,984) selaku juara atau AS$7,500 (RM26,992) bagi naib juara.

Kelmarin, skuad kebangsaan tuan rumah seri tanpa jaringan dengan Bangladesh dalam perlawanan Kumpulan A manakala satu lagi pasukan ialah skuad kebangsaan Indonesia.

Kelab Hyundai Ulsan Tigers bergelar naib juara liga Korea Selatan tahun ini dan dilatih oleh bekas pemain kebangsaan antara 1962 hingga 1971, Kim Jung-nam selain memiliki tiga pemain import dari Brazil.

Dua tahun lalu dalam kejohanan yang sama, skuad Olimpik negara yang juga diterajui Sathianathan, cuma menduduki tempat ketiga di belakang skuad kebangsaan Myanmar, Bawah 23 Tahun tuan rumah dan mengatasi Indonesia.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1113&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz515u4PxoJ

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan