Ahad, 17 Disember 2017

Beri tumpuan akar umbi

ARKIB2009
ARKIB : 25/01/2009
Oleh HISYAMUDDIN AYUB
sukan@utusan.com.my

KERATAN Utusan Malaysia keluaran Khamis, 22 Januari.

KUALA LUMPUR – Tidak ada penyelesaian terbaik membangunkan kembali bola sepak negara di samping pengawasan dan tinjauan penuh atas latihan yang dijalankan untuk skuad kebangsaan.

Itulah pandangan oleh bekas pemain bola sepak negara yang menabur bakti di Sukan Olimpik Munich 1972, Abdul Rahim Abdullah.

Rahim berkata, setelah mengadakan perbincangan bersama rakan seangkatan yang pernah mewakili skuad bola sepak negara, mereka bersetuju bahawa pembangunan sukan popular negara ini perlu dijalankan di peringkat akar umbi dan sesi latihan perlu dikawal selia dengan ketat.

Katanya, hanya dua perkara tersebut mampu membangkitkan kembali prestasi merudum yang dialami oleh skuad Harimau Malaya.

“Material kita sekarang ini adalah pemain remaja dan mereka inilah yang perlu dibentuk dengan pengawasan penuh daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“FAM perlu mempunyai satu pengawasan yang lebih ketat terhadap sistem latihan yang diberikan oleh jurulatih negara dan pastikan sistem tersebut dilaksanakan oleh pemain tersebut apabila dia pulang berlatih dengan pasukan negeri,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini, semalam.

Abdul Rahim berkata, selain kurang pengawasan ke atas skuad kebangsaan, FAM juga perlu melakukan tinjauan terhadap program latihan yang dijalankan oleh jurulatih di negara ini.

Katanya, kepincangan dalam menyediakan pengawasan atau tinjauan membuatkan jurulatih tempatan yang membimbing pasukan negeri melakukan apa sahaja yang difikirkan betul.

“Jika latihan di peringkat bawah (pasukan negeri) tidak dijalankan dengan betul, bagaimana kita hendak hasilkan pemain yang mempunyai prestasi dan tahap kecergasan tinggi?

“Bila dipanggil menjalani latihan pusat (mewakili negara), jurulatih negara terpaksa menghabiskan masa untuk memberi program latihan yang ditetapkan dan sepatutnya.

“Selepas diberi pendedahan dengan program latihan sebenar, pemain itu tadi akan pulang semula ke pasukan negeri dan menjalani latihan biasa di bawah kendalian jurulatih negeri masing-masing,” katanya.

Sehubungan itu, Abdul Rahim berkata, FAM juga perlu mewajibkan agar setiap pasukan negeri menghantar satu laporan teknikal mengenai perkembangan pasukan tersebut dan akan dinilai oleh badan induk sukan bola sepak negara.

Jelas beliau, jika perkara utama itu dilaksanakan dengan baik oleh FAM, tidak mustahil pemain skuad negara bakal mempunyai tahap kecergasan yang diperlukan bagi bersaing di peringkat antarabangsa.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0125&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz51Z9iIPS9

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan