Ahad, 17 Disember 2017

'Tak guna bubar'

ARKIB : 24/01/2009
Oleh HISYAMUDDIN AYUB
sukan@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Kebanyakan bekas pemain bola sepak ternama negara menolak cadangan agar dilakukan pembubaran besar-besaran ke atas skuad bola sepak negara yang dibelasah Emiriyah Arab Bersatu (UAE) 0-5 pada kelayakan Piala Asia 2011 baru-baru ini.

Rata-rata mereka hanya menimbulkan persoalan mengenai tahap kecergasan yang dimiliki oleh pemain negara, sikap profesional serta tiada laporan teknikal yang di peringkat liga tempatan.

Bekas jurulatih bola sepak negara, M. Kuppan berkata, pembubaran pasukan bukanlah jalan penyelesaian terbaik dalam menangani masalah yang dihadapi oleh skuad bola sepak negara, sebaliknya perkara utama yang perlu diberi perhatian adalah mengenai tahap kecergasan pemain.

Katanya, dia begitu sedih melihat aksi yang ditunjukkan oleh pemain pada pertemuan menentang UAE tempoh hari, yang mana mereka hanya beraksi baik dalam tempoh 20 minit, tetapi selepas itu terlalu longlai seolah-olah mereka hanya 'berjalan di atas padang'.

"Jika kecergasan fizikal tidak cukup, bagaimana hendak bermain dalam tempoh masa penuh? Seperti yang didedahkan oleh jurulatih negara, B. Sathianathan, hanya tiga orang pemain negara sahaja yang lulus pada ujian kecergasan, adakah jumlah itu cukup untuk membantu skuad negara bermain dengan baik?

"Oleh itu, perkara utama yang perlu dititikberatkan adalah kecergasan fizikal dan pemain sendiri perlu mengambil berat tentang kewajipan mereka apabila dipilih sebagai pemain kebangsaan," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini semalam.

Kuppan berkata, selain faktor kecergasan, pemain juga perlu bijak untuk menentukan bilakah mereka perlu berlari pantas, berjoging dan berehat ketika di padang.

Tambahnya, pemain negara juga perlu berusaha memastikan dirinya sentiasa dalam keadaan cergas, meskipun tidak menjalani latihan pusat atau ketika menjalani latihan bersama pasukan negeri.

Menurut Kuppan, keupayaan memenuhi jadual latihan setiap hari dan mengadakan latihan tambahan bagi memantapkan kemahiran masing-masing adalah perkara yang perlu disemai dalam diri pemain.

Sementara itu, bekas pemain bola sepak negara yang pernah beraksi di Sukan Olimpik di Munich 1972, Rahim Abdullah berkata, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu mensyaratkan agar setiap pasukan yang bertanding dalam liga tempatan menyediakan laporan teknikal.

Jelasnya, kegagalan melaksanakan laporan teknikal itu menjadi salah satu kesilapan kepada pembangunan bola sepak negara kerana badan persekutuan tidak mengetahui secara penuh sistem permainan yang dilaksanakan oleh pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia.

"Melalui laporan teknikal itu, FAM boleh mengenal pasti sistem permainan setiap pasukan dan mengenal pasti sistem manakah yang terbaik dan boleh diserapkan dalam pasukan kebangsaan.

Rahim juga menegaskan bahawa pembubaran pasukan kebangsaan sedia ada tidak akan banyak membantu membangunkan sukan bola sepak negara, sebaliknya perlu memberi pendedahan jelas mengenai tahap profesional di kalangan pemain.

Jelas Rahim, pemain kini tidak memahami sepenuhnya makna sebagai pemain profesional dan hanya mementingkan soal gaji yang bersifat 'profesional' sahaja.

Kekurangan sikap profesional di kalangan pemain turut dipersetujui oleh bekas pemain terkemuka negara, Shukor Salleh.

"Sebagai contoh, kita hendak masak makanan yang sedap-sedap tetapi ramuan tidak ada. Jadi, bagaimana hendak hasilkan masakan yang sedap itu? Kita tidak mempunyai kualiti pemain yang sebenar. Tetapi, jika hendak dibubarkan pasukan ini, ia bukanlah satu tindakan tepat. Kita tidak boleh melakukan tindakan drastik itu kerana kita tidak mempunyai pasukan pelapis yang baik lagi," katanya.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0124&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz51XNWY4GB
© Utusan Melayu (M) Bhd


Tiada ulasan:

Catat Ulasan